Manusia Angkuh
Sidang Jumaat sekalian,
Marilah kita meningkat ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan meningkatkan sifat kehambaan dalam diri kita sebelum kita dibangkitkan di hadapan Tuhan, Ar-Rabbul Jalil.
Satu jam yang lalu, kita tidak berada di dalam masjid ini. Sepuluh tahun yang lalu, tidak ada sesiapa di kalangan kita berada di kawasan ini. 80 tahun yang lalu, kita semua masih belum ada di atas muka bumi ini. Itulah kita, manusia yang suatu ketika dahulu tidak wujud & tidak dikenali oleh sesiapa pun. Lalu, Tuhan mencipta kita, kita hidup & membesar dewasa, sebahagian dari kita menjadi hamba Tuhan yang patuh. Manakala sebahagiannya pula menjadi penentang agama Tuhan yang angkuh.
Allah SWT menggambarkan persoalan ini dalam surah Yaasin. “Tidakkah manusia itu melihat bahawa Kami telah ciptakan mereka dari setitis air mani, tiba-tiba dia menjadi penentang yang nyata.”
Manusia yang asalnya tiada, kemudian lahir dalam keadaan lemah, membesar dalam keadaan dipimpin dan dibimbing, akhirnya berubah menjadi angkuh, lantaran kurniaan ALlah juga kepadanya. Surah al-Alaq menggambarkan suasana itu. Tidak sekali2. Manusia itu memang melampau. Kerana dia mendapati dirinya sudah kaya/istaghna”
Antara manusia2 angkuh itu adalah Namrud dan Firaun, dua orang raja yang mengaku sebagai Tuhan. Namrud tidak disebut namanya dalam al-Quran. Cukup Al-Quran menggambarkan sikap angkuhnya kerana diberi kurnia oleh Allah. Firman Allah swt:
Al Baqarah 2: 258
Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.
Sidang Jumaat sekalian,
Manakala manusia kedua adalah firaun. Ia lebih banyak disebut oleh Al-Quran. Firaun bukanlah nama seorang manusia. Ia adalah gelaran raja-raja Mesir. Ada ramai firaun di Mesir termasuk Tut An Amun, Ramses, Thebes dan Nefriti. Ada yang baik seperti Amenhetop. Ada yang zalim dan mengaku Tuhan, iaitu Ramses II. Namun al-Quran menjadikan gelaran firaun sebagai pengenalan identiti manusia yang angkuh ini. Al-Quran tidak memperkenalknnya sebagai Ramses atau Ramses II. Al-Quran memanggilnya firaun, gelaran yang menjadikannya angkuh, bukan nama Ramses yang diberikan kepadanya ketika dia masih kecil dan masih bergantung kepada orang lain. Kedudukan dan pangkat sering menyebabkan manusia menjadi angkuh dan sombong. Kerana ini jugalah, dalam perang Badar, apabila kepala Abu Jahal dipenggal dan dibawa kepada Rasulullah SAW, baginda lalu bersabda: “Hari ini binasalah firaun umat ini.” Sedangkan Abu Jahal tidak pernah menggunakan gelaran itu. Namun, sifat angkuh dan puncanya adalah kedudukan beliau yang sama dengan Ramses II sebagai firaun.
Berbeza dengan firaun yang sombong, Al-Quran menceritakan tentang segolongan manusia yang baru sahaja beriman, tetapi terus tunduk kepada Allah SWT. Mereka adalah ahli-ahli sihir, yang dikumpulkan oleh firaun bagi menentang Nabi Musa AS dengan mukjizatnya. Firman Allah SWT: Surah Ta-ha 20: 71
(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa”.
Surah Ta-ha 20:72
Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal”.
Surah Ta-ha 20:73
Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.
Itulah kisah manusia beriman, yang baru beriman, tetapi sanggup berhadapan dengan tindakan firaun, manusia angkuh yang melakukan tindakan semahunya. Mereka hanya berkata: “hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.”
Golongan mantan-mantan ahli sihir itu telah mengutamakan iman berbanding ganjaran dan kedudukan yang ditawarkan oleh firaun, jika mereka dapat mengalahkan Musa AS dalam pertandingan sihir itu. Walaupun mukjizat Nabi Musa AS telah mengalahkan sihir dalam medannya sendiri, firaun tidak mengiktiraf kemenangan Musa AS. Sebaliknya mengambil tindakan pula ke atas kumpulan ahli sihir yang telah beriman tanpa mendapat izin darinya terlebih dahulu.
Demikianlah pilihan orang-orang beriman ketika berhadapan dengan cabaran sikap angkuh manusia. Golongan beriman itu sentiasa ingat kepada Tuhan mereka dan meletakkan keutamaan kepada perbicaraan akhirat. Di mana, segala pangkat dan kedudukan sudah tiada lagi kerana semua manusia akan mengadap Tuhan dengan status dan kedudukan yang sama iaitu hamba.
Firman Allah SWT dalam surah Maryam:
19:93
Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.
19:94
Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu.
19:95
Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.
Khutbah Jumaat pertama pada 13 Februari 2009, Masjid AL Azhar KUIS,
Ditulis dan dibaca oleh Ustaz Abu Zaki Ismail,
Pensyarah Usuluddin KUIS
Seja o primeiro a comentar
Post a Comment