Sunday, March 29, 2009

Penyakit Waswas

Oleh Idris Musa

KERAGUAN adalah suatu fenomena lazim yang dihadapi manusia. Ia datang dan hilang tanpa diduga, namun dalam sesetengah kes, perasaan itu sukar dilenyapkan dan berpanjangan sehingga kerap mempengaruhi diri.

Bahayanya apabila ia bukan setakat menyukarkan seseorang menilai dan membuat keputusan terhadap sesuatu perkara, malah pada satu tahap mengakibatkan hati tidak tenteram.

Seringkali mereka yang dikuasai perasaan ini mengalami masalah dalam menentukan keseimbangan hidup seharian dan bagi umat Islam ia mengganggu tumpuan dalam aspek keimanan dan amal ibadat.

Perasaan ragu-ragu boleh disamakan dengan sangsi, waswas, syak hati dan bingung seperti diterangkan dalam Kamus Dewan.

Ditinjau lebih jauh ia juga disifatkan sebagai bisikan dan suara halus syaitan.

Syaitan berusaha sedaya upaya mengganggu manusia dengan menitipkan perkara bukan-bukan supaya timbul kecelaruan di dalam hati, malah kadangkala mempengaruhi keputusan akal.

Al-Quran ada menjelaskan perkara ini, antaranya ayat dari surah an-Nas, antara lain bermaksud: "Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia."

Sahabat Nabi Muhammad s.a.w juga dilaporkan tidak terlepas daripada perasaan ragu-ragu dan syubhat.

Malah, sesetengah mereka datang kepada baginda mengadukan perkara terbabit.

Abu Hurairah menceritakan, beberapa orang sahabat Rasulullah ]datang dan bertanya: "Sesungguhnya kami mendapati di dalam diri kami suatu yang kami tidak mampu untuk mengucapkannya."

Rasulullah bertanya: "Apakah engkau mendapatinya?" Sahabat menjawab: "Ya." Rasulullah bersabda: "Itulah kejelasan iman." (Hadis riwayat Muslim)

Kejelasan iman itu dimaksudkan penolakan gangguan syaitan dan kebencian mereka terhadapnya.

Umat Islam diajar memohon perlindungan dari Allah apabila didatangi bahaya batin iaitu perasaan ragu-ragu dan ingatan buruk angkara makhluk yang tidak kelihatan, seperti syaitan dan jin serta dari tipu daya manusia.

Surah an-Nas adalah antara pelindung daripada bahaya terbabit.

Rasulullah ada menjelaskan ayat yang terkandung dalam surah an-Nas dan al-Falaq tidak ada tolak bandingnya bagi memohon pertolongan Allah daripada segala jenis bahaya.

Imam Muslim meriwayatkan hadis bermaksud: "Bacalah surah-surah (al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas) tiga kali apabila engkau berada pada waktu pagi dan tiga kali apabila engkau berada pada waktu petang supaya engkau terpelihara dan terselamat dari segala bahaya dan bencana."

Seorang alim bernama Syaqiq menerangkan mengenai bisikan syaitan di dalam diri manusia, katanya: "Tiada satu pagi pun melainkan duduk padaku syaitan dari empat penjuru, dari depanku, belakang, kanan dan sebelah kiriku."

Seterusnya dia berkata: "Janganlah engkau berasa takut, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Kemudian dia membaca ayat 82 dari surah Taha, ayat 6 dari surah Hud, ayat 128 dari surag al-A'raaf dan ayat 54 dari surah Saba pada setiap penjuru.

Ibrahim bin Hakim menceritakan; dari ayahnya, dari Ikrimah, dia berkata: "Ada seorang lelaki yang berpergian jauh (musafir), ternampak seorang lelaki sedang tidur dan dekatnya ada dua syaitan.

"Musafir terbabit mendengar satu antara syaitan itu berkata kepada temannya: 'Sila pergi dan rosakkan hati orang yang sedang tidur itu.'

"Apabila syaitan itu menghampirinya dia berpatah balik kepada temannya dan berkata: 'Dia tidur dengan satu ayat yang membuatkan kita tidak menemui jalan kepadanya.'

"Satu lagi syaitan datang kepadanya. Apabila menghampirinya, ia berpatah balik kepada temannya dan berkata: 'Engkau betul.'

"Kemudian syaitan terbabit beredar dari tempat itu.

Musafir terbabit mengejutkan lelaki yang sedang tidur itu dan menceritakannya hal syaitan yang dilihatnya itu. Dia bertanya: 'Apa yang engkau baca ketika hendak tidur?'

"Lelaki itu menjawab: 'Aku membaca ayat ini (maksudnya: Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari atau ketika mereka berehat pada tengah hari-ayat 4 surah al-A'raaf).'

"Mereka yang menghiaskan diri dengan takwa dan iman, malah selalu mengingati Allah sukar diganggu bisikan syaitan. Hati mereka tenang dan tidak mudah dipengaruhi, walaupun berdepan dengan cabaran dan godaan.

Ibnu Qayyim berkata, sangat perlu bagi seseorang agar tidak menghentikan lidahnya daripada berzikir kepada Allah. Dengan zikir seseorang dapat melindungi dirinya, sedangkan syaitan tidak dapat masuk kepadanya melainkan melalui pintu kelalaian.

Syaitan sentiasa mengintai manusia. Apabila manusia lalai dan mengantuk ia menerkamnya.

Apabila manusia berzikir kepada Allah, terancamlah musuh Allah itu dan berasa dirinya terhina dan tertunduk.

Ibnu Abbas berkata: "Syaitan itu seperti virus penyakit di hati manusia. Apabila manusia lalai dan lupa, syaitan beraksi dan apabila manusia ingat kepada Allah ia menyorok (lari bersembunyi)."

Tetapi tidak dinafikan, sesetengah pihak mengalami kesukaran menangkis ancaman terbabit walaupun selepas dibaca doa pelindung dan ini membuatkan diri semakin buntu memikirkan usaha terbabit.

Dalam hubungan ini Ibnu al-Jauzi ada membuat perumpamaan, katanya: "Ketahuilah sesungguhnya perumpamaan iblis terhadap orang yang takwa dan tidak adalah seperti seorang sedang duduk di hadapannya ada makanan dan daging.

"Seekor anjing melalui kawasan itu, kemudian dia berkata: 'Husy! Husy!.' "Anjing itu berlalu dan kemudian datang pada orang lain, juga terdapat makanan dan daging di hadapannya.

"Orang itu juga menghalau anjing terbabit dengan mengatakan: 'Husy! Husy!.' Tetapi kali ini anjing tidak mahu meninggalkannya.

"Perumpamaan yang pertama adalah seperti orang yang takwa didatangi syaitan, ia mampu menghalau syaitan dengan zikir saja. Perumpamaan kedua seperti orang yang tidak takwa, syaitan tidak mahu lari darinya (walaupun dihalaunya dengan zikir)."

Justeru, bagi orang Islam yang ingin selamat dari bisikan syaitan dan tipu dayanya, hendaklah menyibukkan diri dengan ketakwaan, keimanan dan perlindungan kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.

Beri 1 Dapat 7

Ini bukan program terbaru, ini bukan skim cepat kaya dan bukan juga pelaburan internet. Tapi ini ialah ibarat rezeki yang anda dapat jika anda bersedekah dengan ikhlas.

Kalau anda mahu jadi kaya, maka anda kena rajin menderma. Lagi kesempitan wang, lagi rajin anda menderma. Anda mesti sentiasa membantu orang lain yang memerlukan. Jadikan ia tabiat sepanjang hayat anda.

Logiknya mudah. Kalau anda mahu orang lain senyum kepada anda, maka anda senyumlah kepada orang lain. Siapa mahu memberikan senyuman yang manis mereka kepada anda kalau anda sendiri bersifat sombong?

Malangnya, ramai daripada kita melakukan sebaliknya. Kita selalu memberikan sedekah sekiranya ada lebih. Kita tidak mahu menjadikan ia sebagai satu rutin yang wajib dilakukan. Malah, lebih menakjubkan ada yang mintak duit baki selepas memberikan derma. Kita terlalu berkira kalau mahu menderma.

Seperti ayat Al-Quran di bawah:

"Perbandingan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah (berzakat/sedekah) seperti sebiji benih yang menghasilkan tujuh tangkai dan setiap tangkai itu pula menghasilkan seratus biji benih (buah). Dan Allah itu melipatgandakan kekayaan bagi barangsiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah itu Maha Kekayaan-Nya dan lagi amat mengetahui." (al-Baqarah (2): 261)

Tuesday, March 24, 2009

Langkah Untuk Berjaya Dalam Peperiksaan

Menurut Dr Abdul Aziz Azimullah dalam bukunya Rahsia Kecemerlangan Peperiksaan, peperiksaan adalah perkara penting dalam kehidupan seseorang pelajar dan bakal menentukan masa hadapannya. Jika gagal, peluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi lagi akan turut terjejas.

Langkah-langkah Untuk Berjaya:

  • Tetapkan matlamat untuk berjaya dalam peperiksaan.
  • Membuat ulangkaji (persediaan) awal untuk menghadapi peperiksaan.
  • Membahagikan masa belajar secara efektif.
  • Memberikan tumpuan 100 peratus semasa di dalam kelas.
  • Sentiasa bersikap positif dan yakin diri sendiri.
  • Sentiasa bertawakal dan berdoa agar usaha yang telah dicurah membuahkan hasil.
  • Mengamalkan sistem B.U.L.I.H

Sistem B.U.L.I.H

Untuk menjadi pelajar yang pintar dan berjaya sebenarnya tidaklah sesukar yang disangkakan. Cuba amalkan sistem ini, insyaAllah boleh menjadi pelajar yang berjaya.

  • Belajar dengan tekun semasa berada di dalam kelas. Beri yumpuan sepenuhnya serta buat peta minda sebagai nota. Pelajar-pelajar yang berjaya dengan cemerlang, kaedah ini diamalkan.
  • Ulangkaji nota/peta minda pada masa lapang pada hari itu juga (sebelah petang atau malam)
  • Latihan berkumpulan! Buat latihan amali/kuiz atau kertas soalan bersama seorang atau dua rakan. Kongsi pengetahuan dan saling bantu membantu untuk mengatasi mana-mana bab/topik yang lemah.
  • Imaginasi. Bernafas secara tenang. Imbas kembali di minda apa yang telah dipelajari.
  • Hafal. Buat ringkasan atau nota istilah di atas kad yang boleh dibawa ke mana-mana untuk formula/prinsip yang anda tidak faham.

Saturday, March 21, 2009

Manusia Angkuh

Sidang Jumaat sekalian,

Marilah kita meningkat ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan meningkatkan sifat kehambaan dalam diri kita sebelum kita dibangkitkan di hadapan Tuhan, Ar-Rabbul Jalil.
Satu jam yang lalu, kita tidak berada di dalam masjid ini. Sepuluh tahun yang lalu, tidak ada sesiapa di kalangan kita berada di kawasan ini. 80 tahun yang lalu, kita semua masih belum ada di atas muka bumi ini. Itulah kita, manusia yang suatu ketika dahulu tidak wujud & tidak dikenali oleh sesiapa pun. Lalu, Tuhan mencipta kita, kita hidup & membesar dewasa, sebahagian dari kita menjadi hamba Tuhan yang patuh. Manakala sebahagiannya pula menjadi penentang agama Tuhan yang angkuh.

Allah SWT menggambarkan persoalan ini dalam surah Yaasin. “Tidakkah manusia itu melihat bahawa Kami telah ciptakan mereka dari setitis air mani, tiba-tiba dia menjadi penentang yang nyata.”

Manusia yang asalnya tiada, kemudian lahir dalam keadaan lemah, membesar dalam keadaan dipimpin dan dibimbing, akhirnya berubah menjadi angkuh, lantaran kurniaan ALlah juga kepadanya. Surah al-Alaq menggambarkan suasana itu. Tidak sekali2. Manusia itu memang melampau. Kerana dia mendapati dirinya sudah kaya/istaghna”

Antara manusia2 angkuh itu adalah Namrud dan Firaun, dua orang raja yang mengaku sebagai Tuhan. Namrud tidak disebut namanya dalam al-Quran. Cukup Al-Quran menggambarkan sikap angkuhnya kerana diberi kurnia oleh Allah. Firman Allah swt:
Al Baqarah 2: 258

Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Sidang Jumaat sekalian,
Manakala manusia kedua adalah firaun. Ia lebih banyak disebut oleh Al-Quran. Firaun bukanlah nama seorang manusia. Ia adalah gelaran raja-raja Mesir. Ada ramai firaun di Mesir termasuk Tut An Amun, Ramses, Thebes dan Nefriti. Ada yang baik seperti Amenhetop. Ada yang zalim dan mengaku Tuhan, iaitu Ramses II. Namun al-Quran menjadikan gelaran firaun sebagai pengenalan identiti manusia yang angkuh ini. Al-Quran tidak memperkenalknnya sebagai Ramses atau Ramses II. Al-Quran memanggilnya firaun, gelaran yang menjadikannya angkuh, bukan nama Ramses yang diberikan kepadanya ketika dia masih kecil dan masih bergantung kepada orang lain. Kedudukan dan pangkat sering menyebabkan manusia menjadi angkuh dan sombong. Kerana ini jugalah, dalam perang Badar, apabila kepala Abu Jahal dipenggal dan dibawa kepada Rasulullah SAW, baginda lalu bersabda: “Hari ini binasalah firaun umat ini.” Sedangkan Abu Jahal tidak pernah menggunakan gelaran itu. Namun, sifat angkuh dan puncanya adalah kedudukan beliau yang sama dengan Ramses II sebagai firaun.

Berbeza dengan firaun yang sombong, Al-Quran menceritakan tentang segolongan manusia yang baru sahaja beriman, tetapi terus tunduk kepada Allah SWT. Mereka adalah ahli-ahli sihir, yang dikumpulkan oleh firaun bagi menentang Nabi Musa AS dengan mukjizatnya. Firman Allah SWT: Surah Ta-ha 20: 71

(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa”.

Surah Ta-ha 20:72
Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal”.

Surah Ta-ha 20:73
Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.

Itulah kisah manusia beriman, yang baru beriman, tetapi sanggup berhadapan dengan tindakan firaun, manusia angkuh yang melakukan tindakan semahunya. Mereka hanya berkata: “hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.”

Golongan mantan-mantan ahli sihir itu telah mengutamakan iman berbanding ganjaran dan kedudukan yang ditawarkan oleh firaun, jika mereka dapat mengalahkan Musa AS dalam pertandingan sihir itu. Walaupun mukjizat Nabi Musa AS telah mengalahkan sihir dalam medannya sendiri, firaun tidak mengiktiraf kemenangan Musa AS. Sebaliknya mengambil tindakan pula ke atas kumpulan ahli sihir yang telah beriman tanpa mendapat izin darinya terlebih dahulu.

Demikianlah pilihan orang-orang beriman ketika berhadapan dengan cabaran sikap angkuh manusia. Golongan beriman itu sentiasa ingat kepada Tuhan mereka dan meletakkan keutamaan kepada perbicaraan akhirat. Di mana, segala pangkat dan kedudukan sudah tiada lagi kerana semua manusia akan mengadap Tuhan dengan status dan kedudukan yang sama iaitu hamba.

Firman Allah SWT dalam surah Maryam:
19:93
Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.

19:94
Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu.

19:95
Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.


Khutbah Jumaat pertama pada 13 Februari 2009, Masjid AL Azhar KUIS,
Ditulis dan dibaca oleh Ustaz Abu Zaki Ismail,
Pensyarah Usuluddin KUIS

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat

Oleh: Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.
Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat. Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

  1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."
  2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"
  3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."
  4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf). Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."
  5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."
  6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."
  7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. "Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?" Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"
  8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"
  9. Orang yang membelanjakan harta (infak). Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"
  10. Orang yang sedang makan sahur. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."
  11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.

Monday, March 16, 2009

BETULKANLAH SOLAT .....

Solat adalah tuntut fardhu 'ain manakala mengerjakannya secara berjamaah adalah tuntutan fardhu kifayah. Solat berjamaah, ganjaran pahalanya 27 darjat berbanding 1 darjat sahaja jika bersendirian.

Tahap pahala juga berbeza antara berjamaah di masjid, surau atau di rumah. Di masjid, setiap langkah diberi pahala dan pahala solat-solat sunat 'tahyatul masjid, qabliyah dan ba'diyah' serta sunat iktiqaf. Di surau pahala tambahannya hanya pahala setiap langkah dan solat sunat qabliyah dan ba'diyah sahaja, sedangkan di rumah hanya pahala tambahan qabliyah dan ba'diyah sahaja. Namun demikian, solat-solat sunat digalakkan dibuat di rumah! Persoalannya bagaimanakah kualiti solat berjamaah itu?

Menurut Imam Ahmad Ibn Hambal dalam bukunya: Betulkanlah Solat Anda, telah menyebutkan: "Wahai kaum, saya sudah (pernah) bersolat dengan kamu. Maka saya lihat sebahagian dari ahli masjid kamu mendahului imam dalam rukuk, sujud, ketika bangkit (dari duduk) atau ketika duduk. Tidak (sah) solat bagi orang yang mendahului imam. Tentang ini banyak hadis dari Rasulullah saw dan cerita-cerita para sahabat. Semoga Allah redo ke atas mereka."

Di sini akan diperturunkan secara ringkas dari buku berkenaan supaya solat kita menjadi betul.

Bagaimanakah caranya solat yang betul itu? Maksud hadis Rasulullah saw: "Tidakkah takut orang yang mengangkatkan kepalanya sebelum imam, bahawa Allah akan merubah kepalanya menjadi kepala keldai, atau Allah merubah wajahnya menjadi wajah keldai?". Dalam hadis (riwayat) lain: "menjadi bentuk anjing?".

Sabda Rasulullah saw. bermaksud: "Dijadikan seseorang itu Imam adalah untuk diikuti, bila ia sudah bertakbir, maka hendaklah kamu bertakbir, dan janganlah bertakbir sehingga ia bertakbir, dan bila ia rukuk, maka hendaklah kamu rukuk, dan jangan kamu rukuk sehingga imam rukuk, dan bila ia telah sujud, maka hendaklah kamu sujud, dan jangan kamu bersujud sehingga Imam bersujud". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain menyebutkan, maksudnya: " Pernah kami (bersembahyang) di belakang Rasulullah (Rasulullah sebagai Imam dan kami sebagai makmum), apabila Rasulullah saw telah membongkokkan badannya dari berdiri untuk sujud, tidak seorangpun dari kami membongkokkan punggung, sehingga Rasulullah saw telah meletakkan dahinya ke atas bumi (lantai), sedangkan para makmum semuanya tetap berdiri, kemudian baru mereka mengikut beliau (bersama-sama sujud)". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis dari kebanyakan sahabat Nabi saw., menyebutkan maksudnya: "Sungguh Rasulullah saw sudah lurus berdirinya, sedang kami masih dalam keadaan bersujud".
Jelasnya: Di kala Rasulullah masih dalam bergerak badannya untuk bangkit (berdiri) dari sujud, kami semuanya tetap dalam keadaan sujud, dan setelah Rasulullah berdiri lurus, barulah kami bangkit dari sujud.

Sebuah hadis dari Ibnu Mas'ud bermaksud: "Bahawa ia pernah melihat seseorang mendahului imam, maka berkatalah ia kepada orang itu: Engkau tidak sembahyang sendirian, dan tidak engkau mengikuti akan Imam engkau".
Jelasnya: Orang yang mendahului Imam itu menurut Ibnu Mas'ud tidak dapat dikatakan sembahyang sendirian (sebab ada Imamnya), dan tidak pula dapat dikatakan sembahyang berjamaah, kerana ia tidak mengikut Imam yang ada di depannya. Bila tidak sembahyang sendirian dan tidak pula berjamaah, bererti tidak sembahyang sama sekali. Makna tidak sah sembahyangnya.

Hadis dari Ibnu Umar bermaksud: "Bahawa ia melihat seseorang mendahului imam. Maka berkata Ibnu Umar kepadanya: Engkau tidak sembahyang sendirian, tidak pula berimam. Kemudian ia pukul orang itu, dan memerintahkannya agar mengulangi sembahynagnya".
Hadis tersebut diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud dan Nasaii. Bila solat itu sah, tentu Ibnu Umar tidak akan memerintahkan orang itu kembali mengulangi solatnya. Jadi teranglah menurut para sahabat Rasulullah saw. bahawa solat orang yang mendahului Imam itu tidak sah.

Penerangan lanjut: "Bila Imam sudah bertakbir hendaklah kamu bertakbir", maknanya atau cara mempraktikkannya ialah agar menunggu Imam sehingga selesai bertakbir. Bila Imam sudah selesai bertakbir, dan suaranya sudah terhenti, baru disaat itulah bertakbir.

Banyak manusia yang salah memahamkan hadis-hadis tersebut di atas, bahkan banyak yang tidak mengetahuinya sehingga banyak di antara mereka secara ceroboh mengerjakan solat, memandang ringan dan tidak ambil peduli.

Di saat Imam mulai takbir, mereka mulai pula bertakbir. Jadi bersamaan waktunya. Ini salah. Tidak boleh bertakbir sehingga Imam selesai mengucapkan takbir dan putus suaranya. Inilah maksudnya sabda Rasulullah saw yang bermaksdud: "Bila Imam sudah bertakbir, maka (barulah) kamu bertakbir. Seorang Imam tidak dikatakan bertakbir, sehinggalah selesai mengucapkan "Allahu Akbar", kerana kalau Imam baru mengucapkan "Allahu" kemudian terhenti, maka tidaklah dikatakan yang ia sudah bertakbir. Dikatakan Imam bertakbir, kalau ia sudah selesai mengucapkan "Allahu Akbar". Kemudian barulah orang banyak (makmum) bertakbir menyebut "Allahu Akbar", setelah Imam selesai menyebutnya.

Apatah lagi bila ada Imam yang kurang faham, ia terlalu panjang ucapan takbir sedangkan para ma'mum mengucapkannya secara pendek, maka sudah pasti makmum lebih dahulu selesai bertakbir dari Imam. Ini bererti sudah mendahului Imam. Maka tidak sah solatnya.

Sabda Rasulullah saw bermaksud: Bila Imam sudah bertakbir dan rukuk, maka bertakbirlah kamu dan rukuklah kamu", maknanya ialah agar kamu menunggu sampai Imam bertakbir dan rukuk, dan sudah putus suaranya, sedangkan di saat itu kamu harus tetap berdiri, kemudian itu baru kamu mengikutinya.

Sabdanya yang bermaksud: " Maka apabila Imam sudah mengangkat kepalanya dan berkata Sami'ullahu liman hamidah", maka angkatlah kepala kamu dan berkatalah Allahumma rabbana lakal hamdu", maknanya ialah agar para ma'mum menunggu Imam, tetap rukuk, sehingga Imam mengangkat kepalanya lau berkata sai'ullahu liman hamidah hingga terputus suaranya. Setelah itu barulah mengangkat kepala mengikut Imam.

Begitulah seterusnya dengan pergerakan-pergerakan rukun yang lain. Dalam setiap gerak turun atau naik, jangan mendahului dan jangan bersamaan kerana bila dikerjakan bersamaan, ada kemungkinan besar para makmum geraknya lebih cepat dari Imam, sehingga mendahului pada akhirnya sekalipun bersamaan pada awalnya.

Demikian solat yang sempurna. Cuba renungkan, fikirkan dan berhati-hatilah.......

Saturday, March 14, 2009

Kod Babi Pada Makanan

Oleh Dr. M. Anjad Khan

Salah seorang rakan saya bernama Syeikh Sahib bekerja sebagai pegawai di Badan Pengawasan Ubat & Makanan (POM) di Pegal, Perancis. Tugasnya adalah mencatat semua mereka barang, makanan dan ubat-ubatan.

Produk apa pun yang akan disajikan suatu perusahaan ke pasaran, bahan-bahan produk tersebut harus terlebih dahulu mendapat izin dari Badan pengawas Ubat dan Makanan Perancis dan Syeikh Sahib bekerja di Badan tersebut bahagian QC , oleh sebab itu dia mengetahui pelbagai jenis bahan makanan yang dipasarkan.

Banyak daripada bahan-bahan tersebut dituliskan dengan istilah ilmiah namun ada juga beberapa yang dituliskan dalam bentuk matematik seperti E-904, E-141. Awalnya, saat Syeikh Sahib menemukan bentuk matematik tersebut, dia ingin tahu dan kemudian menanyakan kod matematik tersebut kepada seorang Perancis yang berwenang dalam bidang itu dan orang tersebut menjawab " KERJAKAN SAJA TUGASMU, DAN JANGAN BANYAK TANYA.

Jawaban tersebut menimbulkan kecurigaan buat Syeikh Sahib dan dia kemudian mula mencari tahu kod matematik tersebut dalam dokumen yang ada. Ternyata apa yang dia temukan cukup memeranjatkan kaum Muslimin didunia.

Hampir di seluruh negara barat termasuk Eropah, pilihan utama untuk daging adalah daging babi. Penternakan babi sangat banyak di negara-negara tersebut. Di Perancis sendiri jumlah penternak babi mencapai lebih dari 42.000.

Jumlah kandungan lemak dalam tubuh babi sangat tinggi dibandingkan dengan haiwan lainnya. Namun orang Eropah dan Amerika berusaha menghindari lemak-lemak tersebut.

Kemudian yang menjadi pertanyaan sekarang; dimanakah lemak-lemak babi tersebut ? Jawapannya adalah: Babi-babi tersebut dipotong di tempat perniagaan (secara) kecil-kecilan dalam pengawasan Badan POM dan yang memusingkan badan babi tersebut adalah untuk membuang lemak yang sudah dipisahkan dari daging babi. Dahulu kira-kira 60 tahun yang lalu, lemak-lemak tersebut dibakar.

Kemudian mereka berfikir untuk memanfaatkan lemak-lemak tersebut. Sebagai awal kajian, mereka membuat sabun dengan bahan lemak tersebut dan ternyata itu berhasil.

Lemak-lemak tersebut diproses secara kimiawi, dikemas sedemikian rupa dan dipasarkan. Dalam pada itu negara-negara di Eropah memperlakukan aturan yang mengharuskan bahan-bahan dari setiap produk makanan, ubat-ubatan harus dicantumkan pada kemasan.

Oleh karena itu bahan yang terbuat dari lemak babi dicantumkan dengan nama Pig Fat (lemak babi) pada kemasan produk. Mereka yang sudah tinggal di Eropah selama 40 tahun terakhir ini mengetahui hal tersebut.

Namun produk dengan bahan lemak babi tersebut dilarang masuk ke negara-negara Islam pada saat itu sehingga menimbulkan defisit perdagangan bagi negara pengeksport.

Menoleh ke masa lalu, jika anda hubungkan dengan Asia Tenggara, anda mungkin tahu tentang faktor yang menimbulkan perang saudara. Pada saat itu, peluru senapang dibuat di Eropah dan diangkut ke belahan benua melalui jalan laut. Perjalanannya memakan waktu berbulan-bulan hingga mencapai tempat tujuan sehingga bubuk mesin yang ada di dalamnya mengalami kerosakan karena terkena air laut.

Kemudian mereka punya ide untuk melapisi peluru tersebut dengan lemak babi. Lapisan lemak tersebut harus digigit dengan gigi terlebih dahulu sebelum digunakan. Saat berita mengenai pelapisan tersebut tersebar dan sampai ke telinga tentera yang kebanyakan Muslim dan beberapa Vegetarian (orang yang tidak makan daging), maka tentera-tentera tersebut menolak berperang sehingga mengakibatkan perang saudara ( civil war ).

Negara-negara Eropah mengakui fakta tersebut dan kemudian menggantikan penulisan lemak babi dalam kemasan dengan menuliskan lemak haiwan. Semua orang yang tinggal di Eropah sejak tahun 1970-an mengetahuinya.

Saat perusahaan produsen ditanya oleh pihak berwenang dari negara Islam mengenai lemak haiwan tersebut, maka jawapannya bahawa lemak tersebut adalah lemak sapi (lembu) & domba, walaupun demikian lemak-lemak tersebut haram bagi Muslim kerana penyembelihan haiwan ternak tersebut tidak mengikuti syariat Islam. Oleh karena itu produk dengan label baru tersebut dilarang masuk ke negara-negara Islam.

Sebagai akibatnya, pengusaha produk menghadapi masalah kewangan yang sangat serius kerana 75% penghasilan mereka diperoleh dengan menjual produknya ke negara Islam, di mana laba penjualan ke negara Islam bisa mencapai jutaan dolar.

Akhirnya mereka memutuskan untuk membuat kodifikasi bahasa yang hanya diketahui oleh Badan POM sementara orang awam tidak mengetahuinya. Kod tersebut diawalkan dengan kod E-CODES. E-INGREDIENTS ini terdapat di banyak produk perusahaan multinasional termasuk pasta gigi, sejenis permen karet, coklat, gula-gula, biskut, makanan dalam tin, buah-buahan dalam tin dan beberapa multi vitamin dan masih banyak lagi jenis produk makanan & ubat-ubatan lainnya.

Semenjak produk-produk tersebut di atas banyak di konsumsi [penggunaan barang-barang (spt hasil pertanian, perusahaan, dll)] oleh negara-negara Muslim, kita sebagai masyarakat Muslim tidak terkecuali sedang menghadapi masalah penyakit masyarakat yakni hilangnya rasa malu, kekerasan dan seks bebas.

Oleh itu, saya mohon kepada semua umat Islam untuk memeriksa terlebih dahulu bahan-bahan produk yang akan kita konsumsi dan mencocokkannya dengan daftar kod E-CODES berikut ini. Jika ditemukan kod-kod berikut ini dalam kemasan produk yang akan kita beli, maka hendaknya dapat dihindari karena produk dengan kod-kod tersebut dibawah ini mengandung lemak babi.

E100, E110, E120, E 140, E141, E153, E210, E213, E214, E216, E234,E252,E270, E280, E325,E326, E327, E334, E335, E336, E337, E422, E430, E431, E432, E433,E434, E435, E436, E440,E470, E471, E472, E473, E474,

E475,E476, E477, E478, E481, E482, E483,E491, E492, E493,E494, E495, E542,E570, E572, E631, E635, E904.

Adalah tanggung jawab kita semua sebagai umat Islam untuk mengikuti syariat Islam dan juga memberitahukan informasi ini kepadasaudara kita.

Sumber:isuhangat.blogspot

Rahsia Angka 3

Hari ini kami menghadiri kursus setengah hari di dewan sekolah. Kursus diberi nama PERASA. Pada mulanya tertanya-tanya juga, kursus apakah ini? Kandungan kursus mudah aje. Dengar dan buat apa yang disuruh... tepuk tangan, bertepuklah kami. Berdiri, berdirilah kami, hinggalah urut bahu teman di depan dan macam-macam lagilah... kursus dalam keadaan santai dan banyak gelak. Tujuan kursus untuk mengeratkan silaturahim, menghilangkan strees dan mengendalikan minda dengan betul (tanpa prasangka). Maksud setiap orang mempunyai peranan masing-masing.
Kami disuruh senyum dan senyum. Bila payah nak senyum, kami disuruh menyebut 'tiga' berulang-ulang kali. Apa yang terjadi, terbentuklah sebuah senyuman. Manis ke? Terpulanglah kepada penilaian masing-masing..
Mudah-mudahan selepas ini bila marah, sebutlah 'tiga' dalam hati atau berhadapan dengan orang yang sedang marah, suruhlah orang itu menyebut 'tiga'. Pasti aman!!!
Terima kasih kepada En. Khamsani Kassim. Kaunselor Berlesen dari Sektor Psikologi dan Kaunseling JPS.

Friday, March 13, 2009

Kerja....kerja.....kerja

"Assalammualaikum... "
"Waalaikumusalam. Ada apa encik?"
"Dah tak kenal lagi ker?"
"Patut la rasa cam kenal. Lama tak nampak encik? Tak kerja ke?"
"Dah tak kerja dahh.."
"Padanlah lama tak nampak.Encikberenti ke?"
"Bukan berenti kerja la, tapi kena berentikan kerja.."
"Ish! Org mcm encik ni mana pulak kena buang kerja?"
"Bukan buang la, cakap kena berentikan.."
"Tak sama ya encik dua2 ayat tu?"
"Memanglah sama,tapi kalau sebut kena berenti... kan ke lagi ok?"
"Apsal encik kena berentikan kerja?"
"Sebab ramai yang iri hati dan dengki kat saya!"
"Apsal encik?"
"Iyer la, saya bijak monteng, banyak MC, tipu claim banyak lagilah!"
"Patutlah derang dengki... tapi apsal nak iri hati pulak kat encik?"
"Sebab derang tak reti nak buat cam tu semua!"
"Ya tak ya jugak!! Sekarang buat apa encik?"
"Hmm... tanam anggur.."
"Kat mana encik?"
"Kat rumah... "
"Alhamdulillah, dapat jugaklah hasilnya dari tak dapat apa2.."
"Banyaklah kau punya hasil!"
"Apasal encik?"
"Kau tak tau ke makna 'tanam anggur' tuh?"
"Ader makna lain ke encik?"
"Tanam anggur tu tak de kerja la... menganggur!"
"Iya ke encik? Penganggur ke yang tanam anggur nih? Bukan ke petani?"

Sunday, March 8, 2009

Kasih Terhadap Nabi

TANGGAL 12 Rabiul Awal setiap tahun umat Islam menyambut kehadiran tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, melalui pelbagai acara, antaranya perarakan besar-besaran, ceramah agama dan jamuan.Ada juga majlis marhaban dan qasidah yang dialunkan dengan suara merdu dan penuh bersemangat, berdasarkan kitab Berzanji dan Burdah al-Bushairi. Semuanya demi menggambarkan kasih terhadap Baginda.
Saban tahun, kemunculan 12 Rabiul Awal turut mengundang polemik antara keharusan dan bidaahnya menyambut maulidul rasul.Satu pihak mendakwa ia bidaah kerana tidak pernah dilakukan Nabi s.a.w, sahabat dan golongan salafussoleh. Malah, jika ditinjau dari Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, tidak pernah menganjurkan sambutan maulidul rasul ini. Tetapi, adakah mereka tidak mencintai Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan maulidul rasul? Satu pihak lagi yang menyokong sambutan ini menganggap bidaah yang baik (hasanah) dan hanya bertujuan untuk mengagungkan Rasulullah s.a.w dan mencerminkan kasih sayang kepada Baginda. Bahkan, menurut mereka tiada larangan muktamad daripada Allah dan Rasul-Nya ke atas sambutan maulidul rasul ini.Apa pun, kita tidak ingin menyambung polemik tanpa penghujung ini. Cuma yang ingin dibincangkan ialah tatacara untuk membuktikan kasih sayang dan pengagungan terhadap Nabi s.a.w. Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip agama yang sangat penting. Seseorang tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya."Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya)..." (Surah al-Taubah: 24)Rasulullah s.a.w berhak meraih cinta itu kerana Baginda makhluk paling mulia di sisi Allah, memiliki akhlak yang luhur, mengasihi umatnya, memberi petunjuk dan menyelamatkan umatnya dari neraka, malah menjadi rahmat kepada seluruh alam. Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w memiliki ciri tertentu. Berikut adalah tanda yang membuktikan perasaan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w:

  • Mentauhidkan Allah - Hikmah utama diutusnya rasul termasuk Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik. "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut." (Surah al-Nahl: 36)Maksud mentauhidkan Allah ialah beribadat hanya kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.
  • Mempelajari al-Quran, memahaminya, mengamalnya dan menyebarkan ajarannya - Mukjizat yang paling utama bagi Rasulullah s.a.w ialah al-Quran al-Karim, iaitu aset utama baginya dalam menyebarkan Islam. Ibnu Mas'ud berkata: "Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya, kecuali al-Quran. Apabila dia mencintai al-Quran, maka dia mencintai Allah dan Rasul-Nya." (Huquq al-Nabi)
  • Mentaati sunnah Nabi s.a.w - Satu lagi tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi s.a.w ialah dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya. Ini kerana Allah memberi jaminan yang Baginda adalah insan terbaik untuk dijadikan contoh ikutan bagi umat manusia."Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu..." (Surah al-Ahzab: 21)
  • Menyebarkan sunnah Nabi s.a.w - Sabda Baginda s.a.w, maksudnya: "Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walau satu ayat." (Hadis riwayat al-Bukhari)
  • Sentiasa memuji dan mengingatinya - Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w, seharusnya baginda sentiasa berada di hati kita.Kita juga sepatutnya memuji Nabi s.a.w dengan pujian yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya dengan selawat yang terdapat dalam hadis yang sabit daripada Baginda.
  • Mencintai mereka yang dicintai oleh Nabi s.a.w - "Janganlah kamu semua mencaci salah seorang sahabatku. Ini kerana, sekiranya salah seorang di kalangan kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud, semua itu tidak mampu menyamai satu mud (yang diinfakkan) salah seorang antara mereka malah tidak mencapai separuh." (Hadis riwayat Muslim)
  • Benci orang dibenci Nabi s.a.w - Hendaklah kita membenci dan menjauhkan diri dari mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan bertentangan syarak.
  • Membela Nabi s.a.w dari serangan golongan munafik - "Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik dia akan mendapat balasan syurga atau menjadi temanku di syurga." (Hadis riwayat Muslim)

Sumber:myMetro » Variasi » Ad-Din

Kelahiran

Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap
pasangan suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam,
adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing,
justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini,
masyarakat Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak
turun temurun. Ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan
selepas lahir.

Sewaktu Mengandung
Melenggang Perut
Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara
Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian.
Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika
kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh
seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa
wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam
perut.
Peralatan untuk upacara ini termasuk

  • Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan
  • Segantang beras
  • Sebiji kelapa
  • Beberapa urat benang mentah
  • Damar
  • Minyak kelapa atau minyak urut
  • Lilin
  • Tepak sirih yang lengkap isinya
  • Pengeras sebanyak RM1.25


  • Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita hamil tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur. Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan di kain basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa bersama. Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu ditambat seekor ayam. Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur tadi dilepaskan atau dijatuhkan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin.

Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak
yang bakal lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai
bidan akan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di
atas sehelai yang lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut.
Bidan akan mengurut ibu yang yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau
minyak urut. Bidan mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu
menggulingkannya perlahan-lahan di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak
tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke
atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya.
Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut wanita
hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan
beserta dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa
selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan
pakaian baru. Adalah dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.

Sewaktu Bersalin
Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga
berkenaan. Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan
bulan sepuluh hari. Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga
sepuluh hingga dua belas bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut
kepercayaannya juga daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah dan
kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang
hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Di samping itu
juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran
ini.
Potong Tali Pusat
Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu
disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit.
Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri.

Azan/Qamat
Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan berunsur keagamaan.

Membelah Mulut
Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat dalam agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan langkah mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan ada juga yang menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru lahir tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun demikian, adat ini sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.

Berpantang
Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari.
Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan mengikut kehendaknya atau berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan. Antara makanan yang dilarang keras ialah yang boleh mengakibatkan kegatalan diseluruh anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan pari serta memakan ikan yang mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan baung kerana ia boleh menyebabkan bisa-bisa pada badan. Sebaliknya mereka digalakkan memakan nasi dengan ikan haruan yang dibakar atau direbus dan dibenarkan minum air suam atau susu.

Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku. Bertungku dipercayai dapat membantu perut wanita bersalin kembali normal. Biasanya tungku diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara. Kemudian tungku itu dibalut dengan kain yang dilapik dengan beberapa helai daun yang tebal seperti daun lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di samping berfungsi sebagai ubat. Tungku akan dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan untuk mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin. Selesai bertungku, si ibu akan menyapu perutnya dengan air limau yang dicampur dengan kapur sebelum memakai bengkung. Amalan berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi perut buncit atau pinggul yang turun selepas bersalin di samping memberi keselesaan kepada wanita selepas bersalin.

Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan.

Tanggal Pusat/Cuci Lantai
Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan akan tidur disamping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin atau Khamis.

Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai.

  • Nasi kunyit dan lauk-lauk
  • Seekor ayam hidup
  • Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang
  • Hadiah untuk bidan sepersalinan pakaian
Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan akan
memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta sedikit wang akan
dihadiahkan kepada bidan tersebut.

Memberi Nama

Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih.

Cukur Rambut/ Potong Jambul

Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut. Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan.
  • Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.
  • Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok
    siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air
    sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu
    dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya.

Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi akan ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting sedikit rambut bayi tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa tadi. Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih. Setelah selesai kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.

Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir. Seorang anak disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup. Terdapat syaratsyarat tertentu dalam memilih haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya ialah dua ekor kambing dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah sebagai permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.

Naik Buai
Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam suasana penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat anak atau cucu sulung.


Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bungabungaan.
Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.

Jejak Tanah/Turun Tanah
Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai
meraikan anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil
dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat
ini dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik
dari segi cara mahupun barangan yang digunakan.
Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara ini. Selepas kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-kanak berkenaan berjalan.
Di atas tikar disediakan beberapa dulang yang berisi pelbagai jenis barang, termasuk makanan dan minuman. Antara barangan yang diletakkan di dalam dulang itu ialah cermin, sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain, kasut, gunting, bubur, air sejuk dan wang. Lazimnya jumlah barangan yang diletakkan adalah ganjil. Kanak-kanak tersebut akan dibiarkan bergerak memilih barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan sahaja.

Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal masa depan kanakkanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika kanak-kanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat kerja tangan. Adat ini juga boleh lakukan secara sederhana iaitu dengan memijakkan kaki kanak-kanak itu ke piringpiring kecil yang berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa jenis daun yang telah dijampi oleh mak bidan. Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan doa dibaca.

Bersunat / Berkhatan
Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanakkanak perempuan akan menjalani upacara
ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan
dijalankan oleh Tok Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga, ia baik dari segi kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis perkahwinan.

http://www.scribd.com/doc/7572304/Adat-Resam-Melayu

Cukur Jambul: Sunnah atau Bid'ah

Menjelang sambutan Maulidur Rasul, saya berkesempatan mengikuti program keagamaan yang dikendalikan oleh Dato' Hasan Din al-Hafiz yang disiarkan melalui saluran 106 di Astro pada 7.3.2009 jam 11.00 malam. Fokus perbincangan lebih menekankan Rasulullah saw. sebaik-baik contoh ikutan.

Setiap perbuatan Nabi yang diikuti/dilakukan oleh umatnya dinamakan sunnah. Ia tidak sahaja berkaitan perkara-perkara ibadah sahaja tetapi merangkumi semua hal yang berkaitan dengan kehidupan manusia; samada sosial, budaya, ekonomi, politik, ketenteraan dan pentadbiran.

Namun terdapat dalam masyarakat Islam (Melayu) adat dijadikan agama dan agama dijadikan adat. Oeh itu terdapat perkara Nabi tak buat atau Nabi buat tetapi dibuat dengan cara tidak betul. Contoh: majlis cukur jambul, dibuat dengan menyalahi sunnah. Rambut bayi hanya digunting sikit-sikit sahaja dan dimasukkan ke dalam buah kelapa yang diukir cantik. Amalan ini Nabi saw tidak pernah buat. Apa Nabi lakukan ialah cukur licin kepala cucunya Hassan dan Hussin, kemudian rambut itu ditimbang dan dinilai dengan nilai emas. Nilai itu disedekahkan kepada fakir miskin.

Dalam masyarakat Melayu, amalan itu ditokoh tambah dengan berzanji dan marhaban untuk memeriahkan majlis (khenduri). Ketika marhaban itulah bayi dibawa di khalayak ramai untuk digunting rambutnya oleh orang-orang yang tertentu, biasanya imam, bilal atau sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai dan layak. Amalan ini adalah dianggap bid'ah hasanah (baik). Amalan ini telah menjadi salah satu budaya dan adat resam Melayu.

Persoalannya; adakah selepas rambut bayi digunting adakah diikuti dengan mencukur licin kepala bayi itu?

Saturday, March 7, 2009

NASIHAT KEHIDUPAN

Sebagai manusia, setiap kita menginginkan kehidupan yang bahagia bila kita sudah mempunyai keluarga kelak, namun cara yang kita ikuti pada masa ini lebih banyak yang salah dari yang betul. Kerana apa? Kerana nafsu yang bergelora dalam diri kita ini, kerana itulah lebih banyak yang salah yang kita ikuti. Bukan kerana ilmu yang kurang dalam diri kita, tetapi kerana iman yang tak pernah kita usahakan. Bila iman lemah, itu yang memudahkan syaitan dan nafsu menjadi kuat. Hinggakan ilmu yang banyak dalam diri kita pun tak bisa melawan serangan syaitan dan nafsu yang sentiasa ada di dalam dan sisi kita. Oleh itu, marilah sama-sama kita baca dan ikuti nasihat di bawah ini. Mudah-mudahan kita mendapat sedikit ilmu pengetahuan yang boleh mambantu kita dihari kemudian bila kita ingin mendirikan rumahtangga kelak. Semoga kita mendapat Rahmat, keberkatan, dimurahkan rezeki dan diampuni oleh Allah SWT, Tuhan Yang Maha Pengasih Yang Mentadbir Alam semesta�InsyaAllah
1. KETIKA MENCARI CALON Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.
2. KETIKA MELAMAR Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.
3. KETIKA AKAD NIKAH Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu,tetapi menikah di hadapan Allah
4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa'kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do'a mereka.
5. KETIKA MALAM PERTAMA Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.
6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.
7. KETIKA BIDUK RUMAH TANGGA GOYANG Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justeru semakin erat berpegang tangan
8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK. Cintailah isteri atau suami anda 100%
9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK. Jangan bagi cinta anda kepada (suami) isteri dan anak anda,tetapi cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.
10.KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.
11.KETIKA EKONOMI BERKEMBANG Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita
12.KETIKA ANDA ADALAH SUAMI Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggung jawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.
13.KETIKA ANDA ADALAH ISTERI Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.
14.KETIKA MENDIDIK ANAK Jangan pernah berpikir bahawa orang tua yang baik adalah orang tua yang tidak pernah marah kepada anak,kerana orang tua yang baik adalah orang tua yang jujur kepada anak ....
15.KETIKA ANAK BERMASALAH Yakinilah bahawa tidak ada seorang anakpun yang tidak mahu bekerjasama dengan orang tua, yang ada adalah anak yang merasa tidak didengar oleh orang tuanya.
16.KETIKA ADA PIL. Jangan diminum, cukuplah suami, isteri sebagai ubat.
17.KETIKA INGIN AMAN DAN HARMONIS

Gunakanlah formula 7K :
1 Ketaqwaan
2 Kasih sayang
3 Kesetiaan
4 Komunikasi dialogis
5 Keterbukaan
6 Kejujuran
7 Kesabaran


Sumber: Blongstarz's member-dylima

Doa & Amalan Untuk Memperolehi Zuriat

Oleh: Ustazah Dato’ Sti Nor Bahiyah
Melalui perkahwinan, manusia akan dapat mengembangkan keturunan dan memenuhi ketenteraman jiwa kerana perkahwinan yang harmoni dan sesuai menurut tuntutan Illahi, dapat memenuhi tuntutan biologi. Malah tujuan perkahwinan juga adalah untuk mendapatkan zuriat melalui ikatan sah di sisi agama dan undang-undang. Namun, tidak semua pasangan suami isteri beroleh zuriat setelah berkahwin. Ada sesetengah pasangan perlu mengambil masa yang lama untuk memperoleh zuriat dan ada juga yang tidak mempunyai zuriat sehingga tua disebabkan perkara-perkara tertentu. Tetapi perlu diingat bahawa semua yang berlaku itu adalah dengan izin dan kehendak ALLAH s.w.t.
Oleh yang demikian, mereka yang beriman dan percaya dengan ketentuanNYA akan redha dengan segala apa yang terjadi terhadap diri mereka. Akan tetapi itu tidak bermakna kita hanya perlu akur dan berserah dengan apa yang terjadi tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki zuriat. Dalam Islam terdapat tips atau amalan yang boleh diamalkan agar dipermudahkan mendapat zuriat yang baik dan soleh.
Pertama, bersangka baik dengan ALLAH s.w.t. serta berdoa dengan membaca ayat 38, surah Ali-Imran yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa." Al-Imam Al-Samarqandi meriwayatkan bahawa Nabi Zakaria a.s pernah merasakan baginda tidak akan mendapat zuriat sehinggalah baginda melihat anugerah ALLAH s.w.t. Maka baginda meyakini bahawa ALLAH berkuasa mengurniakan baginya anak. Tambahan pula, baginda memegang amanah menjaga kunci rumah Qurban yang diwarisi turun-temurun. Keturunan dalam ayat ini bermaksud anak yang sihat sejahtera dan berakhlak.
Kedua, bersangka baik dengan ALLAH s.w.t serta berdoa dengan ayat 89, surah al-Anbiya yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi." Ayat ini juga berkenaan dengan kisah Nabi Zakaria a.s. untuk memperoleh anak yang baik bagi menyambung zuriatnya.Amalkan membaca doa ini bersama doa dalam surah Ali-Imran tadi untuk mendapat zuriat. Selain itu berikhtiarlah dengan perkara-perkara yang dibenarkan syarak. Pasangan suami isteri juga dinasihatkan supaya memperbanyakkan sedekah, puasa sunat dan qiamullail untuk mendapat anugerah ALLAH s.w.t. yang hebat ini.
Bagi ibu yang mengandung, persediaan rohani dan adab penting semasa mengandung bagi menentukan tingkah laku anak yang bakal dilahirkan samada baik atau sebaliknya. Untuk mendapat anak yang baik dan soleh, terdapat amalan yang patut diamalkan oleh kedua-dua ibu bapa anak itu sendiri, iaitu:

  1. Memperbanyakkan taubat dan istighfar. Ibu bapa yang banyak melakukan taubat dan istighfar, ALLAH s.w.t. sentiasa mengasihi dan merahmati kedua-duanya dan juga segala isi dalam rumahtangga termasuk anak dalam kandungan.
  2. Berpuasa sunat. Khusus untuk suami, banyak berpuasa sunat atau sekurang-kurangnya semingu dua kali atau sehari pada hari Isnin dan Khamis atau salah satu daripada hari-hari berkenaan atau pada hari-hari putih (13, 14 dan 15 bulan Hijrah). Perlu diingatkan, amalan puasa sunat cuma digalakkan dilakukan oleh suami atau bapa (bagi anak) sahaja seperti mana dilakukan oleh Nabi Zakaria a.s. Bagi ibu, sekiranya tidak memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan bolehlah diamalkan.
  3. Tidak bercakap yang sia-sia. Ketika isteri sedang mengandung, suami seboleh-bolehnya tidak bercakap yang sia-sia, lebih-lebih lagi yang boleh mendatangkan dosa seperti mengumpat, menfitnah dan sebagainya. Sebaliknya, basahilah lidah dengan berzikir dan bertahmid atau bercakap yang mendatangkan faedah.
  4. Banyak berdoa. Sentiasa berdoa agar ALLAH s.w.t. mengurniakan anak yang soleh atau solehah. Sekurang-kurangnya setiap lepas sembahyang, bacalah doa khusus bagi ibu yang sedang mengandung.
  5. Banyak membaca al-Quran. Secara umumnya, elok membaca al-Quran dengan semua surah, tetapi di sini ustazah mengkhususkan surah-surah yang dibaca serta kesannya.
  • Surah al-Fatihah - Untuk menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan
  • Surah Maryam - Untuk memudahkan ibu bersalin dan memperolehi anak yang sabar dan taat.
  • Surah Luqman - Untuk memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa.
  • Surah Yusuf - Untuk memperoleh anak yang cantik rupa dan cantik akhlak.
  • Surah Hujurat - Untuk memperbanyakkan susu ibu da dan anak bersifat berhati-hati
  • Surah Yaasin - untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat.
  • Surah Taubah - Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat.
  • Surah an-Nahl - Untuk melahirkan anak yang berdisiplin.

Semoga dengan doa dan amalan ini seluruh umat Islam memperolehi zuriat yang berkualiti.

Sunday, March 1, 2009

Abses Gigi – Gigi dan Gusi Bernanah

Definisi
Abses gigi merupakan pengumpulan bahan-bahan yang dijangkiti (nanah) berpunca dari jangkitan bakteria di bahagian tengah (pulpa) gigi.

Penyebab, Kejadian dan Faktor Risiko
Abses gigi atau gigi bernanah sebenarnya adalah komplikasi kepada karies gigi. Ia juga boleh berlaku akibat trauma terhadap gigi (misalnya apabila gigi patah atau hancur). Enamel yang terbuka (berlubang) membenarkan kemasukan bakteria yang akan menjangkiti bahagian tengah (pulpa) gigi.

Jangkitan boleh merebak dan akar gigi hingga ke tulang yang menyokong gigi.Jangkitan menyebabkan berlakunya pengumpulan nanah (terdiri daripada tisu yang mati, bakteria yang telah mati atau masih hidup dan sel darah putih) dan pembengkakan tisu dalam gigi. Ini menyebabkan sakit gigi. Jika struktur akar gigi mati, sakit gigi mungkin hilang, tetapi jangkitan kekal aktif dan terus merebak dan memusnahkan tisu.

Gejala-gejala gigi bernanah

  • Sakit gigi.
  • Sakit gigi yang teruk dan berterusan
  • Sakit yang berdenyut-denyut.
  • Sakit ketika mengunyah.
  • Gigi terasa sensitif kepada air sejuk atau panas.
  • Rasa pahit di dalam mulut.
  • Nafas berbau busuk.
  • Mungkin demam.
  • Kelenjar leher bengkak.
  • Rasa tidak selesa, tidak sihat atau tidak tenang.
  • Bahagian rahang bengkak (sangat serius).

Komplikasi gigi bernanah

  • Gigi tercabut.
  • Jangkitan merebak hingga ke tisu lembut (selulitis fasial, angina Ludwig).
  • Jangkitan merebak ke tulang rahang (osteomielitis mandibel atau maksila).
  • Jangkitan merebak ke bahagian badan yang lain menyebabkan abses serebrum, endokarditis, pneumonia atau gangguan gangguan lain.

Langkah penjagaan sendiri

  • Untuk meredakan kesakitan, ambil ubat penahan sakit.
  • Jangan meletakkan serbuk aspirin di atas gigi. Aspirin akan melecurkan gusi dan memusnahkan enamel gigi.
  • Jangan minum minuman yang terlalu panas atau sejuk.
  • Jangan mengunyah gula-gula getah.
  • Elakkan makanan yang manis, pedas dan berempah. Diet dalam bentuk cecair mungkin perlu untuk 1 atau 2 hari sehingga kesakitan mulai hilang.
  • Berkumur dengan air garam suam setiap satu jam.
  • Berjumpalah doktor gigi walaupun sakit telah beransur-ansur reda.

Rawatan

Tujuan utama rawatan adalah untuk menyingkirkan jangkitan, mengekalkan gigi dan mencegah komplikasi. Antibiotik boleh diberi untuk melawan jangkitan.
Berkumur dengan air garam suam dapat melegakan kesakitan. Ubat analgesik yang diperolehi dari kedai mungkin dapat meredakan sakit gigi dan demam. Jangan meletakkan aspirin betul-betul di atas gigi atau gusi kerana ia akan menambahkan kerengsaan pada tisu dan boleh mengakibatkan ulser mulut.
Pembedahan akar gigi mungkin disyor untuk mengekalkan gigi. Bahagian gigi yang rosak akan ditanggalkan bersama-sama bahagian tengah gigi termasuklah tisu saraf dan vaskular. Manakala bahagian akar dan permukaan gigi dikekalkan. Rongga yang terbentuk di dalam teras akan diisikan dan dibaiki. Bahagian atas gigi kemudiannya akan disalutkan dengan bahan penampal. Eksisi (penyaliran melalui pembedahan) bahagian yang bernanah atau mencabut gigi yang rosak mungkin perlu dilakukan.

Berjumpalah doktor sekiranya....

Anda menghadapi satu atau lebih masalah berkaitan sakit gigi seperti yang disenaraikan di bawah ini:

  • Sakit yang berdenyut-denyut atau berterusan.
  • Demam.
  • Sakit telinga.
  • Leher atau rahang yang sakit bila disentuh atau kelenjar yang bengkak di bahagian gigi yang sakit.
  • Merasa tidak sihat.
  • Nafas berbau dan/atau rasa pahit di dalam mulut.

Sumber: e-kesihatan.blogspot.com

Amalan Terlarang

RASUAH memusnahkan hidup! Dalam sekelip mata seorang yang dihormati boleh menjadi hina, bahkan maruah bangsa dan negara akan tercalar. Boleh dikatakan setiap hari akhbar melaporkan mengenai perbuatan rasuah yang dilakukan pihak tertentu termasuk pemimpin politik.
Walaupun masyarakat memahami sebagai amalan biasa, sedar atau tidak rasuah adalah satu bentuk jenayah dan mereka yang terbabit berdepan tindakan serta hukuman. Sudah ramai menerima akibat daripada amalan rasuah, sehingga ada kehilangan jawatan dan harta, malah terpaksa menghabiskan sisa hidup di penjara.
Mereka yang terbabit dengan rasuah juga akan dikenakan hukuman di akhirat kelak, sebagaimana ditegaskan Nabi s.a.w dalam satu hadis diriwayatkan at-Tirmizi bermaksud: "Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan di dalam api neraka."
Rasuah selalu disebut dalam masyarakat majmuk di negara ini. Tetapi apakah sebenarnya rasuah dan sejauh mana ia difahami? Menurut sarjana, ia berasal daripada perkataan Arab (iaitu rishwah, rashwah) bermaksud 'sesuatu penyambung yang dapat menghantarkan tujuan dengan harta sogokan.'
Asal perkataan itu daripada 'rasha' yang bermakna 'tali timba yang dipergunakanuntuk mengambil air di perigi.' Kamus Dewan mendefinisikan rasuah sebagai 'pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap).'
Berasaskan pengertian itu, rasuah boleh diertikan juga dengan istilah makan suap dan memberi/menerima sogokan. Satu lagi perkataan yang selalu digunakan ialah korup/korupsi daripada perkataan Inggeris 'corrupt/corruption'.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan pengertian suapan dalam konteks yang lebih luas, iaitu: "Wang, derma, alang, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain; "Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat; "Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya; apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan; "Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
"Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan "Apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) yang terdahulu. "Menurut suruhanjaya itu, kesalahan rasuah membabitkan perbuatan meminta atau menerima rasuah, menawar atau memberi rasuah, membuat tuntutan palsu dan menyalahgunakan jawatan atau kedudukan.
Dalam Islam, amalan rasuah dan segala bentuk salah laku yang bersekutu dengannya seperti penipuan, penyelewengan, salah guna kuasa, penindasan dan pemalsuan dilarang sama sekali. Ayat 188 daripada surah al-Baqarah bermaksud: "Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). "Rasulullah s.a.w menegaskan dalam satu hadis bermaksud: "Allah s.w.t melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya." (Riwayat Ahmad)
Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2008, membabitkan kajian di 180 negara menunjukkan Denmark, Sweden dan New Zealand berkongsi pada tangga teratas dengan skor 9.3. Somalia ditangga tercorot (1.0), sementara Malaysia berkongsi dengan Jordan, Hungary, Costa Rica dan Cape Verde di tangga ke-47 dengan skor 5.1. Skor 10 menunjukkan sangat bersih manakala skor kosong amalan rasuah yang teruk.
Walaupun tidak diketahui sejauh mana penilaian yang dilakukan pertubuhan terbabit, ia sedikit sebanyak memberikan suatu tamparan kepada dunia Islam kerana gagal mendapat kedudukan sebagai negara yang paling bersih. Rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bidang dengan tidak mengira tempat dan keadaan.
Secara umum ia membabitkan empat disiplin iaitu politik, ekonomi, sosial dan persekitaran. Bagaimanapun, menurut pertubuhan integriti antarabangsa, Global Integrity, tanpa mengira tahap pendapatan, ancaman korupsi pertama mendepani majoriti negara ialah aliran wang tanpa aturan dalam proses politik. Keputusan itu adalah hasil daripada kajian pihak terbabit di 57 negara di dunia, yang dikeluarkan dalam satu kenyataan baru-baru ini. Pengarah Urusannya, Nathaniel Heller, berkata ketelusan membabitkan kewangan sangat teruk di kalangan mereka yang terbabit dalam politik.
"Sekiranya kita serius untuk memulihkan kembali penyalahgunaan kuasa dan korupsi di dunia maju dan membangun, kawalan keselamatan lebih berkesan untuk mengawal pengaruh kewangan dalam politik perlu dilakukan bersungguh-sungguh," katanya.
Di Malaysia ketika ini undang-undang baru pencegahan rasuah turut membolehkan saudara-mara terbabit atau bersubahat dengan penerima rasuah akan menerima tindakan dan nasib sama dengan orang dituduh berdasarkan peluasan tafsiran 'saudara'. Justeru, dengan adanya peruntukan itu, sudah sewajarnya bagi mereka yang 'bercita-cita' untuk mendapatkan kepentingan peribadi melalui cara tidak sah memikirkan akibatnya berkali-kali, mahu atau tidak.

Sumber: myMetro» Variasi » Ad-Din

Arak kunci segala kejahatan

ABU Laits berkata, jauhilah minum arak kerana di dalamnya mempunyai sepuluh perkara yang tercela.
Apabila seseorang itu minum arak, kedudukannya seperti orang gila, akhirnya dia menjadi bahan ketawa kanak-kanak dan tercela dia bagi orang yang berakal.
Arak itu boleh menyebabkan hilangnya akal dan musnahnya wang ringgit.
Minum arak boleh menyebabkan timbulnya permusuhan antara sahabat.
Minum arak akan menghalangi seseorang itu mengingati kepada Allah dan akan menghalangi dia daripada mengerjakan solat.
Minum arak akan mendorong perbuatan zina. Sebab seseorang yang minum arak mungkin dengan mudah menceraikan isterinya tanpa disedarinya.
Minum arak adalah anak kunci segala perbuatan jahat. Orang yang minum arak mudah sekali melakukan perbuatan terkutuk.
Minum arak boleh menyebabkan menyakiti keluarganya dan temannya kerana mengiringi ke tempat fasik.
Orang yang minum arak wajib dihad, dihukum dengan 80 sebatan, kalau dia tidak dipukul di dunia, dia akan dipukul di akhirat dengan cemeti api neraka di hadapan orang ramai dan disaksikan oleh bapa dan temannya.
Minum arak itu menyebabkan pintu langit ditutup baginya, kerana semua amal baiknya dan doa-doanya tidak diterima selama 40 hari.
Minum arak itu menyebabkan dikhuatiri dicabut imannya.Semua akibat ini adalah di dunia sebelum dia mati. Selepas itu, dia akan menghadapi pula seksa akhirat nanti.

sumber: myMetro » Variasi » Ad-Din

Alam Sekitar

Sayangilah kurniaan Allah ini. Hargailah pemberianNya.
Alam dan manusia saling bantu membantu.
Kesejahteraan alam, sejahteralah semua kehidupan di alam ini.

LAKAR ruang MAYA - [LArAM] ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO