BETULKANLAH SOLAT .....
Solat adalah tuntut fardhu 'ain manakala mengerjakannya secara berjamaah adalah tuntutan fardhu kifayah. Solat berjamaah, ganjaran pahalanya 27 darjat berbanding 1 darjat sahaja jika bersendirian.
Tahap pahala juga berbeza antara berjamaah di masjid, surau atau di rumah. Di masjid, setiap langkah diberi pahala dan pahala solat-solat sunat 'tahyatul masjid, qabliyah dan ba'diyah' serta sunat iktiqaf. Di surau pahala tambahannya hanya pahala setiap langkah dan solat sunat qabliyah dan ba'diyah sahaja, sedangkan di rumah hanya pahala tambahan qabliyah dan ba'diyah sahaja. Namun demikian, solat-solat sunat digalakkan dibuat di rumah! Persoalannya bagaimanakah kualiti solat berjamaah itu?
Menurut Imam Ahmad Ibn Hambal dalam bukunya: Betulkanlah Solat Anda, telah menyebutkan: "Wahai kaum, saya sudah (pernah) bersolat dengan kamu. Maka saya lihat sebahagian dari ahli masjid kamu mendahului imam dalam rukuk, sujud, ketika bangkit (dari duduk) atau ketika duduk. Tidak (sah) solat bagi orang yang mendahului imam. Tentang ini banyak hadis dari Rasulullah saw dan cerita-cerita para sahabat. Semoga Allah redo ke atas mereka."
Di sini akan diperturunkan secara ringkas dari buku berkenaan supaya solat kita menjadi betul.
Bagaimanakah caranya solat yang betul itu? Maksud hadis Rasulullah saw: "Tidakkah takut orang yang mengangkatkan kepalanya sebelum imam, bahawa Allah akan merubah kepalanya menjadi kepala keldai, atau Allah merubah wajahnya menjadi wajah keldai?". Dalam hadis (riwayat) lain: "menjadi bentuk anjing?".
Sabda Rasulullah saw. bermaksud: "Dijadikan seseorang itu Imam adalah untuk diikuti, bila ia sudah bertakbir, maka hendaklah kamu bertakbir, dan janganlah bertakbir sehingga ia bertakbir, dan bila ia rukuk, maka hendaklah kamu rukuk, dan jangan kamu rukuk sehingga imam rukuk, dan bila ia telah sujud, maka hendaklah kamu sujud, dan jangan kamu bersujud sehingga Imam bersujud". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain menyebutkan, maksudnya: " Pernah kami (bersembahyang) di belakang Rasulullah (Rasulullah sebagai Imam dan kami sebagai makmum), apabila Rasulullah saw telah membongkokkan badannya dari berdiri untuk sujud, tidak seorangpun dari kami membongkokkan punggung, sehingga Rasulullah saw telah meletakkan dahinya ke atas bumi (lantai), sedangkan para makmum semuanya tetap berdiri, kemudian baru mereka mengikut beliau (bersama-sama sujud)". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis dari kebanyakan sahabat Nabi saw., menyebutkan maksudnya: "Sungguh Rasulullah saw sudah lurus berdirinya, sedang kami masih dalam keadaan bersujud".
Jelasnya: Di kala Rasulullah masih dalam bergerak badannya untuk bangkit (berdiri) dari sujud, kami semuanya tetap dalam keadaan sujud, dan setelah Rasulullah berdiri lurus, barulah kami bangkit dari sujud.
Sebuah hadis dari Ibnu Mas'ud bermaksud: "Bahawa ia pernah melihat seseorang mendahului imam, maka berkatalah ia kepada orang itu: Engkau tidak sembahyang sendirian, dan tidak engkau mengikuti akan Imam engkau".
Jelasnya: Orang yang mendahului Imam itu menurut Ibnu Mas'ud tidak dapat dikatakan sembahyang sendirian (sebab ada Imamnya), dan tidak pula dapat dikatakan sembahyang berjamaah, kerana ia tidak mengikut Imam yang ada di depannya. Bila tidak sembahyang sendirian dan tidak pula berjamaah, bererti tidak sembahyang sama sekali. Makna tidak sah sembahyangnya.
Hadis dari Ibnu Umar bermaksud: "Bahawa ia melihat seseorang mendahului imam. Maka berkata Ibnu Umar kepadanya: Engkau tidak sembahyang sendirian, tidak pula berimam. Kemudian ia pukul orang itu, dan memerintahkannya agar mengulangi sembahynagnya".
Hadis tersebut diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud dan Nasaii. Bila solat itu sah, tentu Ibnu Umar tidak akan memerintahkan orang itu kembali mengulangi solatnya. Jadi teranglah menurut para sahabat Rasulullah saw. bahawa solat orang yang mendahului Imam itu tidak sah.
Penerangan lanjut: "Bila Imam sudah bertakbir hendaklah kamu bertakbir", maknanya atau cara mempraktikkannya ialah agar menunggu Imam sehingga selesai bertakbir. Bila Imam sudah selesai bertakbir, dan suaranya sudah terhenti, baru disaat itulah bertakbir.
Banyak manusia yang salah memahamkan hadis-hadis tersebut di atas, bahkan banyak yang tidak mengetahuinya sehingga banyak di antara mereka secara ceroboh mengerjakan solat, memandang ringan dan tidak ambil peduli.
Di saat Imam mulai takbir, mereka mulai pula bertakbir. Jadi bersamaan waktunya. Ini salah. Tidak boleh bertakbir sehingga Imam selesai mengucapkan takbir dan putus suaranya. Inilah maksudnya sabda Rasulullah saw yang bermaksdud: "Bila Imam sudah bertakbir, maka (barulah) kamu bertakbir. Seorang Imam tidak dikatakan bertakbir, sehinggalah selesai mengucapkan "Allahu Akbar", kerana kalau Imam baru mengucapkan "Allahu" kemudian terhenti, maka tidaklah dikatakan yang ia sudah bertakbir. Dikatakan Imam bertakbir, kalau ia sudah selesai mengucapkan "Allahu Akbar". Kemudian barulah orang banyak (makmum) bertakbir menyebut "Allahu Akbar", setelah Imam selesai menyebutnya.
Apatah lagi bila ada Imam yang kurang faham, ia terlalu panjang ucapan takbir sedangkan para ma'mum mengucapkannya secara pendek, maka sudah pasti makmum lebih dahulu selesai bertakbir dari Imam. Ini bererti sudah mendahului Imam. Maka tidak sah solatnya.
Sabda Rasulullah saw bermaksud: Bila Imam sudah bertakbir dan rukuk, maka bertakbirlah kamu dan rukuklah kamu", maknanya ialah agar kamu menunggu sampai Imam bertakbir dan rukuk, dan sudah putus suaranya, sedangkan di saat itu kamu harus tetap berdiri, kemudian itu baru kamu mengikutinya.
Sabdanya yang bermaksud: " Maka apabila Imam sudah mengangkat kepalanya dan berkata Sami'ullahu liman hamidah", maka angkatlah kepala kamu dan berkatalah Allahumma rabbana lakal hamdu", maknanya ialah agar para ma'mum menunggu Imam, tetap rukuk, sehingga Imam mengangkat kepalanya lau berkata sai'ullahu liman hamidah hingga terputus suaranya. Setelah itu barulah mengangkat kepala mengikut Imam.
Begitulah seterusnya dengan pergerakan-pergerakan rukun yang lain. Dalam setiap gerak turun atau naik, jangan mendahului dan jangan bersamaan kerana bila dikerjakan bersamaan, ada kemungkinan besar para makmum geraknya lebih cepat dari Imam, sehingga mendahului pada akhirnya sekalipun bersamaan pada awalnya.
Demikian solat yang sempurna. Cuba renungkan, fikirkan dan berhati-hatilah.......
Seja o primeiro a comentar
Post a Comment