Sunday, June 28, 2009

Tiada Lagi?

Tanggal 27 Jun 2009, hantar anak ke UiTM Segamat untuk pendaftaran semesta pertama. Perjalanan tidak sesak menghala ke selatan. Namun begitu kenderaan menghala ke utara mengalami kesesakan yang teruk akibat kemalangan jalan raya. Masa ketika itu lebih kurang pukul 8.30 pagi. Kemalangan berlaku sebelum R&R Seremban. Lori terbalik menghempap sebuah kereta. Nasib pemandu dan penumpangnya tidak ketahui. Kenderaan tidak bergerak lansung kerana kemalangan itu menutup sebahagian jalan. Kenapa boleh berlaku kemalangan? Jawabnya sikap pemandu yang tidak sabar dan tidak berhemah....

Tentu pemandu-pemandu lain merungut terutama mereka yang menghantar anak ke IPTA yang terletak di bahagian utara. Kelewatanlah!!!

Sampai di UiTM Segamat mula berhadapan dengan kesesakan kerana ibubapa atau penjaga menghantar anak masing untuk mendaftar. Masa itu pukul 11.00 pagi. Keadaan sebelumnya tak tahu. Mungkin dah sesak. Ketika keluar dari kawasan kampus pada 2.00 petang kesesakan tidak berlaku lagi.

Dalam perjalanan balik tersangkut lagi dengan kesesakan teruk di kawasan sama sebelah pagi tadi. Jangkaan berlaku kemalangan memang tepat. Kali ini berlaku selepas R&R pula. Melibatkan beberapa buah kenderaan. Salah siapa? Kereta masing-masing dalam keadaan tiptop. Semuanya hebat-hebat. Tidak ada kereta antik dalam kemalangan itu. Puncanya SIKAP. Ada antara pemandu kita berhemah ketika ujian memandu sahaja. Dah dapat lesen pemanduan berhemah diabaikan....

Sebelum masuk ke Tol Nilai berlaku lagi kemalangan melibat 2 buah menghala ke selatan. Peliknya! bagaimana sebuah darinya berpatah balik ke KL?

Jika undang-undang jalanraya dipatuhi, displin diri yang tinggi, kondisi kereta sentiasa diawasi, dipantau dan dijaga sudah pasti TIADA LAGI kemalangan. Pihak berkuasa saban waktu beri peringatan tetapi buat tuli je.. Kalau zzzzzzzz atau penat berehatlah di R&R secukupnya. SEBENARnya kemalangan boleh dielakan jika undang-undang jalanraya dipatuhi, ditaati dan dihormati.

Friday, June 26, 2009

Kembali Ke Masjid

Khutbah Jumaat hari ini amat menarik dan mempesonakan. Cara penyampaian yang bersahaja, bergaya lembut tetapi tegas mempesonakan para jemaah. Khatib begitu lancar berbicara dan berhujjah memandang ke arah jemaah seolah-olah tanpa teks. Gayanya seolah-olah menyampaikan satu syarahan. Matanya lebih banyak banyak memandang jamaah dari menatap lembaran teks. Rasanya teks itu adalah nota-nota dan khatib menghuraikannya sambil menggayakan tangan dan memandang jamaah.

Kandungan khutbah sangat menarik dan terkena batang hidung semua jamaah. Khatib tanpa teragak-agak menerangkan peranan peranan dan sumbangan masjid, dengan membandingkan masjid zaman Rasulullah dengan sekarang . Masjid zaman Rasulullah s.a.w. bukan sahaja untuk beribadah bahkan untuk kegiatan sosial, pendidikan, politik, ekonomi dan ketenteraan.

Masjid telah menyatukan masyarakat dengan adanya aktiviti solat berjemaah setiap waktu. Kasih sayang terbina dalam masyarakat kerana adanya solat berjamaah. Kalau berjamaah hanya pada solat Jumaat sahaja, maka kasih sayang dalam masyarakat sukar diwujudkan.

Menurut khatib kalau hanya berjamaah pada hari solat Jumaat sahaja dan tidak berjemaah solat-salat waktu dianggap sebagai munafik kerana Rasulullah s.a.w mengajar umatnya sentiasa solat waktu berjamaah. Setiap ajaran Rasulullah s.a.w tidak diamalkan adalah munafik!!! Bahaya ni!!!

Khatib menjelaskan dengan kuasa air yang pernah membadai. Kisah-kisah tauladan bencana alam hanya termaktub dalam al-Quran tetapi kali ini Allah tunjukan dan kita melihatnya di mana Acheh menjadi padang jarak padang terkukur. Semuanya musnah. Rumah, bangunan, pokok telah ranap. Banyak nyawa yang terkorban. Bagi yang masih hidup hilang tempat tinggal, hilang sanak saudara, ramai menjadi yatim piatu.

Hanya masjid yang terselamat di tengah-tengah padang jarak padang terkukur itu. Jadikanlah masjid seperti masjid zaman Rasulullah s.a.w. Oleh itu kembalilah ke masjid, imarahkan masjid, cintailah masjid, rinduilah masjid. Ajak semua ke masjid pasti kita semua akan selamat. Buktinya Allah dah tunjukkan dan kita melihatnya. Duniapun tak pernah tertipu dengannya iaitu ACHEH.

Sunday, June 21, 2009

KASIH AYAH

Anakku Sazali dengarlah
Lagu yang ayahanda karangi
Sifatkan laguku hai anak
Sebagai sahabatmu nanti
Anakku Sazali juwita
Laguku jadikan pelita
Penyuluh di gelap gelita
Pemandu ke puncak bahagia...

BEGITU puitis lirik lagu Anakku Sazali ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Baitnya syahdu dan menyentuh jiwa, membayangkan keakraban hubungan dan kasih tidak berbelah bahagi antara seorang bapa dan anak.

Kasih bapa kepada anak melebihi segalanya. Jasanya tidak terhitung, cuma semua itu sukar dimengertikan si anak, sehinggalah suatu hari kelak giliran anak pula bergelar bapa.

Islam meletakkan bapa pada kedudukan yang tinggi dan menjadi kewajipan setiap anak memuliakan bapa, mentaati dan menghormatinya, berbuat baik dan berkata dengan sopan.

“Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia.

“Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: ‘Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.’” (Surah al-Isra': 23-24)

Teks al-Quran itu mengajar manusia melayani orang tua. Tetapi sejauh mana ketaatan itu? Apakah pula yang dikatakan kebajikan terhadap orang tua?

Menurut Imam al-Ghazali, kebanyakan ulama berpendapat, ketaatan kepada orang tua wajib dalam hal meragukan dan tidak wajib dalam hal yang jelas haram kerana meninggalkan sesuatu meragukan adalah warak (berhati-hati), sedangkan keredaan orang tua adalah wajib.

Berbakti kepada orang tua tidak hanya kepada bapa atau ibu yang Muslim. Walaupun kedua-duanya kafir, anak harus berbuat baik kepada mereka dan termasuk berbuat baik dan tidak berjihad kecuali dengan izin mereka.

Dalam hadis sahih diriwayatkan daripada Abdullah ibn Amru, dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w meminta izin kepadanya untuk berjihad.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apakah ayahmu masih hidup?” Orang itu menjawab: “Ya.” Nabi bersabda: “Berjihadlah bagi kedua orang tua.” (Hadis riwayat Muslim)

Melalui hadis lain disebutkan orang itu menjawab: “Ya, kutinggalkan mereka menangis.” Nabi berkata: “Pergilah, buatlah mereka tertawa, sebagaimana engkau membuat mereka menangis.”

Jangan sesekali membuatkan bapa menitiskan air mata. Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a, dia berkata, bersabda Rasulullah bermaksud: “Tangis kedua orang tua termasuk penderhakaan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Menurut al-Qurtubi, termasuk kesempurnaan dalam berbakti kepada kedua orang tua ialah menjalin hubungan baik dengan orang yang mereka cintai. Diriwayatkan dari Muaz ibn Jabal r.a, Rasulullah bersabda, ertinya: “Sesiapa berbakti kepada kedua orang tuanya, beruntunglah dia dan Allah menambah umurnya.” (Hadis riwayat Abu Ya'la, Tabrani dan al-Hakim)

Bagi anak yang sudah ketiadaan bapa, masih boleh berbakti kepadanya. Diriwayatkan Abu Usaid, seorang Badwi, dia berkata: “Aku sedang duduk bersama Nabi s.a.w, kemudian datang kepadanya seorang lelaki Ansar.

Dia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah aku masih boleh berbakti kepada ayahku sesudah dia meninggal?” Baginda menjawab yang bermaksud: “Ya, mendoakan rahmat bagi keduanya, memohonkan ampun bagi keduanya, melaksanakan wasiat mereka, menghormati teman mereka, menjalin hubungan dengan kerabat daripada pihak mereka berdua. Inilah yang masih boleh engkau lakukan.”

Sebagai anak, tutur kata dengan bapa sewajarnya sopan dan beradab, tidak mengguriskan hati, malah melayaninya dengan penuh keikhlasan, hormat dan rendah diri.

Diriwayatkan dari Aisyah r.a, dia berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi bersama seorang tua. Nabi bertanya: “Siapakah yang bersamamu?” Orang itu menjawab: “Ayahku.”

Baginda bersabda: “Jangan berjalan di depannya dan jangan duduk sebelum dia, jangan memanggilnya dengan namanya dan jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain memakinya.” (Hadis riwayat Tabrani)

Menurut Atha’, perkataan lemah-lembut seperti “wahai ayah, wahai ibu” tanpa menyebut namanya. Ibnul Baddaah at-Tujaibi berkata: “Aku berkata kepada Said Ibnu Masayyab, semua yang ada dalam al-Quran mengenai berbakti kepada kedua ibu bapa sudahku ketahui, kecuali firman-Nya bermaksud: “Dan berkatalah kepada keduanya dengan perkataan yang mulia.”

Apakah perkataan yang mulia itu?” Ibnu Masayyab berkata: “Ia adalah perkataan hamba yang berdosa kepada tuan yang bengis dan keras.”Begitulah kiasan dalam hubungan interaksi antara anak dan bapa.

Tetapi kini ada anak sewenang-wenangnya menengking bapa, memaki hamun, malah sampai menghumbankan bapa ke penjara dan mencederakannya. Bongkaknya, seperti sudah lupa asal usul.

Ibnu Abbas berkata, Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membuat reda kedua orang tuanya di waktu pagi dan petang, dia pun mendapat dua pintu syurga yang terbuka dan jika seorang, satu pintu. Sesiapa di waktu petang dan pagi membuat marah kedua orang tuanya, dia mendapat dua pintu neraka yang terbuka, jika seorang, satu pintu.”

Tetapi bagi si anak pantang melihat bapa melakukan perkara bertentangan. Bapa, walaupun kerap kali berdepan dengan anak bermasalah, tetap bersabar dan menutup aib sehinggalah dia dapat melihat anaknya menjadi orang berguna.

Malah, anak selalu berkira soal makan minum dengan bapanya. Sudahlah wang jarang dikirim, bertanya khabar jauh sekali. Beberapa kali diberi, sudah mula mengungkit itu dan ini. Satu kisah terjadi pada zaman nabi.

Diriwayatkan dengan Isnad bersambung dari Jabir ibn Abdillah r.a, dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ayahku mengambil hartaku. ”Kemudian Jibril turun kepada Nabi dan berkata: “Allah Azza wajalla menyampaikan salam kepadamu dan berkata kepadamu: “Apabila orang tua itu datang kepadamu, tanyailah dia mengenai sesuatu yang dikatakannya dalam dirinya dan hanya didengar kedua-dua telinganya.”

Ketika orang itu datang, Nabi berkata: “Mengapa puteramu mengeluhkan kamu? Apakah engkau ingin mengambil hartanya?”Orang tua itu berkata: “Tanyailah dia, ya Rasulullah, apakah aku membelanjakannya bagi salah seorang ibu saudaranya atau bagi diriku?”Rasulullah berkata: “Janganlah ceritakan hal ini kepada kami. Beritahulah aku mengenai sesuatu yang engkau ucapkan di dalam dirimu dan hanya didengar oleh kedua telingamu.”

Orang tua itu berkata: “Demi Allah, wahai Rasulullah, Allah Azza wajalla selalu menambah keyakinan kami kepadamu. Aku sudah mengucapkan sesuatu di dalam diriku yang hanya didengar oleh kedua telingaku.”

Rasulullah berkata: “Katakanlah supaya saya mendengarnya.” Orang itu berkata: “Ku beri engkau makan ketika masih bayi dan kubiayai engkau di kala dewasa. Engkau minum daripada rezeki yang aku berikan padamu.

“Bila engkau sakit pada waktu malam aku tidak tidur dan gelisah semalaman suntuk kerana penyakitmu, seakan akulah yang terkena bukannya engkau dengan penyakit yang menimpa orang lain sehingga aku menangis. “Diriku takut engkau binasa, supaya engkau tahu bahawa maut memiliki waktu tertentu.

“Apabila engkau jadi besar dan mencapai akhir umur, aku pun tidak mengharapkanmu, engkau balas aku dengan kekerasan dan kebengisan, seakan-akan engkaulah pemberi kenikmatan dan kurnia.

“Kiranya bila engkau tidak memelihara hak aku sebagai bapa, engkau lakukan seperti yang dilakukan tetangga yang berdekatan. Lalu engkau penuhi hak tetangga terhadapku, dan tidak kikir kepadaku dengan harta yang bukan hartamu.”

Ketika itu, Nabi memegang leher baju putera orang itu dan berkata: “Engkau dan hartamu milik ayahmu.”

Oleh: Idris Musa

Wednesday, June 17, 2009

Hati-hati pilih makanan

MAKAN dan minum adalah fitrah semula jadi manusia. Sejak di alam janin, seterusnya saat mula mengenal dunia, sehinggalah ke penghujung usianya, rantaian hidup manusia tidak pernah terpisah daripada makan dan minum.

Tetapi sekiranya terkurang atau terlebih ia akan mengundang penyakit, malah apabila tersalah makan dan minum akan mengakibatkan diri merana.

Oleh itu, Islam melihat makan dan minum adalah suatu aspek yang sangat penting dan harus diberikan perhatian sepanjang waktu supaya yang dimakan dan diminum memberikan kesihatan, bukannya penyakit.

"Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata." (Al-Quran, surah al-Baqarah: ayat 168)

Ayat di atas bersifat perintah terhadap manusia supaya memakan hanya yang halal iaitu makanan yang menepati syarak. Ia juga sebagai satu panduan kepada umat Islam dalam menilai serta memilih makanan dan minuman.

Kepentingan makanan halal dan baik itu disebut Allah di dalam al-Quran lebih 1,400 tahun lampau, menunjukkan betapa pentingnya konsep pemakanan halal yang sempurna.

Imam Ibnu Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim, mentafsirkan makanan yang baik sebagai yang sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal.

Dalam Islam, makan dan minum bukan hanya semata-mata bersifat tabiat, bahkan ia sebagai ibadat. Makanan yang halal diredai Allah dan mendapat ganjaran, manakala makanan haram dimurkai dan menjejaskan hubungannya dengan Allah.

Nabi s.a.w menjelaskan: "Seorang lelaki musafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadahkan tangannya dan berdoa kepada Allah, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram, bagaimana akan diperkenankan permohonannya." (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Tirmizi)

Daripada peristiwa di atas, dapatlah kita fahami, dengan makanan halal ibadat seseorang akan diterima Allah, sedangkan makanan haram menyebabkan ibadat jadi rosak, malah doanya tidak diperkenankan dan diri dekat dengan azab.

At-Tirmizi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w, bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada benda yang haram, api nerakalah yang lebih utama baginya." Sahabat, Ibn Abbas pula berkata: "Tidak diterima solat seseorang yang di dalam tubuh badannya terdapat benda yang haram."

Sekiranya makanan halal disukai Allah, usaha untuk mendapatkannya juga dirahmati dan diberkati. Sabda Nabi s.a.w bermaksud: "Sesiapa berusaha untuk keluarganya daripada harta yang halal, dia berkedudukan seperti seorang yang berjihad pada jalan Allah."

Di negara berbilang kaum dan agama, seperti Malaysia, masyarakat Islam sewajarnya lebih prihatin dengan aspek ini, bahkan memikul tanggungjawab untuk menyebarluaskan konsep pemakanan halal lagi bermutu ini.

Makanan yang haram tidak hanya daripada babi atau anjing dan haiwan mati yang tidak disembelih (bangkai), malah ada lagi beberapa jenis haiwan yang diharamkan seperti haiwan liar bertaring dan burung berkuku mencengkam. Ini sesuai dengan pesanan Nabi Muhammad s.a.w seperti dilaporkan al-Bukhari, yang melarang (umat Islam) memakan semua haiwan buas yang bertaring dan burung yang memiliki kuku yang mencengkam.

Bukan semua jenis minuman halal, bahkan sesetengahnya diharamkan, seperti arak dan darah. Dalam al-Quran, pada ayat 173 surah al-Baqarah, Allah mengharamkan darah, manakala pada ayat 90 surah al-Maidah turut dijelaskan mengenai arak.

Dalam sesetengah kes pula ada bahan makanan dan minuman yang asalnya harus, tetapi apabila disalah guna, ia menjadi haram. Contoh paling ketara ialah dadah dan ubat batuk, sepatutnya bagi tujuan perubatan, tetapi disalah guna menjadi haram.

Majlis Fatwa Kebangsaan (1982) menjelaskan, sebarang penyalahgunaan termasuk penyalahgunaan dadah, hukumnya haram. "Dadah hanya boleh digunakan bagi tujuan perubatan yang sah mengikut syarak."

Sheikh Yusuf al-Qardawi, dalam kitab Halal dan Haram dalam Islam, berkata: "Hukum berkenaan haramnya narkotik disepakati oleh kalangan ahli fiqah dan ia dikenali sebelum ini sebagai al-khabaith (suatu bahan yang keji)."

Begitupun, dalam persoalan halal haram makanan dan minuman, beberapa konsep perlu diberikan perhatian:

* Punca makanan seperti daging yang digunakan. Konsep haiwan yang haram dimakan dalam Islam seperti haiwan bertaring serta hidup dua alam dan haiwan yang jijik seperti cicak.

* Kaedah penyembelihan haiwan yang menepati syarak. Lebih menakutkan sekiranya orang bukan Islam menyembelih haiwan yang dijual dipasaran terbuka, sedangkan antara syarat penyembelihan dalam Islam, penyembelih mesti orang Islam.

Cara pengurusan dan pemprosesan makanan mesti terhindar daripada najis dan tidak bercampur dengan bahan haram di sisi Islam, termasuk dari segi pengangkutan tidak bercampur dengan bahan makanan yang haram.

Ramuan dalam makanan dipastikan suci, misalnya tidak mengandungi alkohol dan minyak daripada lemak babi.

Peralatan yang digunakan untuk memasak dan memproses makanan, seperti kuali, periuk dan pisau, tidak pernah digunakan untuk memasak makanan yang haram mengikut syariat Islam.
Persekitaran yang bersih, terutama di bahagian dapur.

Sumber untuk mendapatkan makanan juga mestilah halal. Sekiranya makanan dibeli hasil daripada wang rasuah, peras ugut, rompakan dan curi, ia tidak bertepatan dengan konsep halal dalam Islam.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 172, menegaskan: "Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya."

Oleh Idris Musa

Friday, June 5, 2009

6 perkara dorong beribadat

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

PADA waktu Rasulullah s.a.w mengembala kambing, ada sekumpulan remaja melepak tidak jauh daripadanya sambil berborak dan ketawa. Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah s.a.w:

"Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana itu?"

Dengan tegas, Rasulullah s.a.w menjawab: "Saya diciptakan bukan untuk itu."Jawapan baginda itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan satu kesalahan malah kadangkala ia diperlukan. Tetapi hiburan hingga melalaikan, itu yang merosakkan.

Di sebalik jawapan Nabi s.a.w yang agung itu, ada mesej penting iaitu hidup ini untuk beribadat kepada Allah. Kadang-kadang ada yang lepak hingga lupa untuk menunaikan solat. Mereka yang bermain bola pada waktu petang di padang tidak lagi malu dengan azan yang berkumandang.

Padang bola pula bersebelahan masjid. Haiwan ternakan seperti kambing dan lembu pun balik ke kandang tetapi sesetengah kita asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi jalan. Inilah yang dilarang Nabi.

Waktu kerja, waktu rehat, masa tidur, makan dan bermain ada, tetapi sayangnya waktu ibadat tidak dimasukkan dalam jadual. Ada yang beribadat apabila berkesempatan dan bila tidak sempat qada saja. Ada pula memberikan alasan sibuk. Kadang-kadang ada remaja bertanya, kenapa perlu beribadat?

Dalam ruangan kali ini, saya mengajak remaja memahami tujuan kita mesti beribadat. Ada enam alasan kita mesti mengabdikan diri kepada Allah. Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau bagaimana sibuk.

Pertama, tujuan kita dicipta Allah ialah supaya kita beribadat kepada-Nya. Firman Allah bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku." (Al-Quran, surah adz-Dzaariyat: 56) Jika tugas lain kita boleh ingat, tugas ibadat lebih utama dan lebih-lebih lagi kita harus mengingatinya.

Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak. Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma. Zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar. Bil elektrik dan telefon, jika tidak dibayar kena potong. Tetapi kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan kalau kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong. Kita yang tidak beribadat ini matilah.

Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh. Firman Allah maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi..." (Al-Quran, surah al-A'raaf:172)

Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul ialah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan). Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat, apatah lagi kita. Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul: Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut..." (Al-Quran, surah al-Nahl: 36)

Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita, kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.

Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang derhaka pada-Nya. Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat pengakuan.

Ini terbukti dalam firman Allah maksudnya: "Katakanlah: Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari Kiamat)." (Al-Quran, surah al-An'am: 15)

Monday, June 1, 2009

Sikap bakhil nafi kesempurnaan iman

SETIAP orang berasakan dirinya tidak bakhil, walaupun pada pandangan dan ukuran orang lain dia sebenarnya bersifat demikian, sehingga lupa untuk berzakat, bersedekah, memberikan belanja pada keluarga dan ibu bapa. Malah, dia mengatakan dirinya bukan seorang yang kikir, tetapi cuma berhemat. Justeru, dia menyedekahkan pakaian yang lusuh kepada orang lain dan cukup berkira untuk berbelanja, khususnya kepada orang sekelilingnya.

Tetapi suka atau tidak, mereka yang tidak menunaikan tanggungjawab seperti di atas atau masih menunaikannya, namun dengan rasa berat hati seperti contoh terbabit sebenarnya tergolong dalam golongan yang bakhil.Sifat bakhil sangat merugikan dan antara keburukannya ialah:

  • Dibenci Allah. Kebencian Allah adalah sebab kepada kesempitan dan kesusahan.
  • Sifat bakhil bukan sifat mukmin dan menafikan kesempurnaan iman.
  • Menampilkan suatu kebodohan. Tabiat manusia berasa benci dan jijik kepada orang bakhil dan kikir. Ini adalah bukti semula jadi kejinya sifat bakhil. Oleh itu, orang yang sanggup bersifat bakhil adalah suatu kebodohan.
  • Orang bakhil dibenci dan dikeji manusia, terutama di kalangan ahli ilmu dan mereka yang berakhlak mulia. Bahkan orang bakhil juga tidak disukai di kalangan mereka sendiri.
  • Dengan memerhatikan keadaan dan kehidupan orang bakhil, dapat disimpulkan yang sifat itu tiada kebaikannya. Cuma yang ada hanya keburukan, kedukaan dan kesusahan yang mengakhiri hidupnya.Orang tua-tua mengungkapkan: "Kikir itu pada hakikatnya adalah fakir sekalipun banyak harta simpanannya dan pemurah itu pada hakikatnya kaya walaupun ia tidak berpunya."
  • Orang bakhil menjadi bahan cemuhan sewaktu hidupnya, bahkan selepas kematiannya. Harta yang disimpan tanpa dibelanjakan itu akan ditinggalkan. Sehinggakan mereka yang berhak mendapatnya tidak akan memujinya, tetapi akan menyumpah dan mencemuhnya. Malangnya nasib orang bakhil, di dunia dicela, di akhirat diseksa.
  • Orang bakhil biasanya akan sedar mengenai akibat buruk dan kebodohannya, bahkan kerugiannya apabila ajalnya hampir. Pada waktu itu, dia cuba menebus kebodohannya yang lalu dengan mewasiatkan harta ditinggalkan untuk derma amal kebajikan. Tetapi mungkin ahli keluarganya tidak akan mengendahkannya.
  • Orang bakhil akan diseksa di akhirat, iaitu dengan dikalungi lehernya semua barang yang dia kikir. Dahinya dan belakangnya akan dibakar dengan emas dan perak yang disimpan tanpa dikeluarkan pada jalan Allah.
  • Sifat bakhil kerana takutkan kefakiran dan kemiskinan adalah tipu daya syaitan yang menjanjikan kekayaan, sedangkan pada hakikatnya bakhil itu adalah kemiskinan.

Alam Sekitar

Sayangilah kurniaan Allah ini. Hargailah pemberianNya.
Alam dan manusia saling bantu membantu.
Kesejahteraan alam, sejahteralah semua kehidupan di alam ini.

LAKAR ruang MAYA - [LArAM] ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO