Saturday, August 29, 2009

Inilah masanya......

Bulan Ramadan adalah masa terbaik kita menyucikan jiwa. Inilah masa untuk meluntur jiwa supaya patuh dan taat pada perintah Allah. Jiwa yang selama ini melakukan maksiat kepada Allah, perlu disucikan. Tidak ada peluang yang lebih baik untuk mensucikan diri selain Ramadan kerana di bulan yang penuh dengan limpahan keberkatan ini, syaitan dibelenggu sebagai tanda kemuliaan Ramadan.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Apabila datang Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan" (HR al-Bukhari dan Muslim)

Jiwa kita diumpamakan sebagai mentol yang terang. Namun setiap kali kita melakukan dosa dan maksiat, satu titik hitam akan melekat ke dalam hati dan jiwa kita. Lama kelamaan mentol yang bersinar itu akan dilitupi oleh titik hitam sehingga mentol yang terang itu tidak dapat lagi menembuskan cahayanya.

Begitulah jiwa kita, yang perlu dibersihkan supaya cahayanya dapat memancar untuk menunjuk jalan. Oleh itu, sucikan jiwa dengan banyak beristighfar mohon keampunan daripada Allah. Bertaubat di atas ketelanjuran sama ada terhadap Allah atau sasama makhluk. Bertaubatlah dengan taubat nasuha iaitu:

  • Segera meninggalkan maksiat yang dilakukan.
  • Menyesal di atas perlakuan maksiat yang telah dilakukan.
  • Berazam untuk tidak akan mengulangi lagi maksiat.

    Itulah syarat taubat nasuha yang dapat menyucikan jiwa. Apabila jiwa telah suci akan terpancarlah hidayah Allah. Apabila jiwa telah dipenuhi dengan hidayah Allah dan syaitan pula telah dibelenggu dengan kemuliaan Ramadan, maka inilah masanya, SUBUH tidak lagi terlewat malah saat menunggunya diisi dengan bacaan ayat suci al-Quran.

    Inilah masanya, tangan berjabat mengeratkan silaturahim, hati diisi dengan kasih sayang melalui zakat, membuang dendam dan dengki yang selama ini terpatri di hati. Inilah masanya, tiada lagi kata nista, umpat dan keji menutur di bibir. Inilah masanya, alunan zikir bertali arus menunjukkan rindu kasih seorang kepada Tuhannya.

    Inilah masanya, tangan kanan menghulur sumbangan kepada yang memerlukan sebagai tanda persaudaraan sesama Islam. Jiran tetangga bertukar juadah, mengeratkan hubungan 'saudara' terdekat. Inilah masanya, ibubapa diziarahi, hubungan silaturahim diperbaiki dan pusara dikunjungi.

    Inilah masanya, pakaian yang labuh dan menutup aurat menjadi pilihan, tiada lagi yang jarang atau kurang bahan. Inilah masanya, masjid dan surau dipenuhi dengan umat Islam yang ingin mendekatkan diri kepada Allah melalui solat berjemaah termasuk solat tarawih. Inilah masanya, doa dipanjatkan, semoga kehidupan di dunia diberkati, kehidupan di akhirat bahagia menanti.

    Inilah masanya, sucikan jiwa dan ikhlaskan hati bagi kita memulakan hidup baru, sebagai garis permulaan ke arah kejayaan abadi di dunia dan di akhirat.

    Mudah-mudahan, Ramadan kali ini dapat menyucikan jiwa kita daripada segala dosa yang sekian lama menutup jiwa kita. Mohonlah keampunan dan pertolongan daripada Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

    Sumber: Unit Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor.


  • Monday, August 24, 2009

    Pantang Larang Puasa

    Pantang larang puasa ialah perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa, maknanya berpuasa tidak mendapat apa-apa pahala kecuali lapar dan dahaga (puasa yang sia-sia).

    1. Berbohong, berdusta.
    2. Mengumpat, mengata orang.
    3. Membuat sesuatu yang boleh mendatangkan permusuhan.
    4. Melihat benda-benda yang mendatangkan keinginan.
    5. Marah.

    Rasulullah s.a.w. bersabda:

    Bermaksud: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya”.
    (Hadis Riwayat Muslim)

    Bermaksud: “Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri dari percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji”.
    (Hadis menurut Sahih Muslim)

    Sunat-sunat Puasa:

    1. Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.
      Rasulullah s.a.w. bersabda:

      Bermaksud: “Allah berfiman: Hambaku yang lebih Aku cintai adalah mereka yang menyegerakan berbuka”.
    2. Makan sahur walaupun sedikit.
      Rasulullah s.a.w. bersabda:

      Bermaksud: “Makan sahur itu berkat, oleh kerana itu jangan kamu tinggalkan, walau hanya sekadar meneguk seteguk air, kerana Allah merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat mendoakannya”.
    3. Melambatkan makan sahur iaitu lepas daripada tengah malam dan sebelum waktu imsak.
    4. Berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis.
    5. Memperbanyakkan membaca Al-Quran.
    6. Memperbanyakkan sedekah.
    7. Beriktikaf siang hari dalam masjid.
    8. Menghadiri majlis-majlis ilmu.
    9. Menyediakan makanan untuk berbuka untuk orang-orang berpuasa.
    10. Jangan bersugi setelah tergelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari kerana boleh memakruhkan puasa.

    Sunday, August 23, 2009

    SATIRA Ramadhan

    Di dalam perut manusia terdapat 3 rakan karib yang selalu berkerjasama dalam melakukan kerja harian , mereka ialah Enzim, Asid, dan Bakteria. Manakala didalam paru-paru pula, Alveoli merupakan komuniti terbesar yang bertugas membuang karbon dioksida dan membekal oksijen. Mari kita belajar sesuatu dari kisah kehidupan mereka sepanjang bulan Ramadhan.

    Hari itu, kira-kira jam 5 pagi, si Asid tiba-tiba tersedar dari tidurnya apabila melihat sesuatu turun laju dari atas. Dia terkejut melihat nasi bercampur ayam goreng yang tiba-tiba masuk kebiliknya sebelum waktu subuh . Apabila ada makanan, maka bermakna mereka diarahkan berkerja oleh tuannya yang bernama manusia.

    Lalu si Asid menjerit mengejutkan dua rakan karibnya. “ Oiii Enzim, Bakteria…..bangun, bangun!. Enzim dan Bakteria terpinga-pinga. “ Apahal ni Asid, pukul berapa ni?, tanya Enzim pada Asid. “ Pukul 5 pagi, tuan kita ni tiba-tiba je hari ni suruh kita berkerja”, jawab si Asid bersungguh-sungguh.

    “ Alamakkk, apahal pulak tuan kita ni, selalunya shift keja kita mula kita 8 pagi, hari ni pulak kerja awal, mimpi apa bos kita malam tadi, leceh betullah”,Bakteria menyampuk dan mengeluh.

    Dalam keadaan terpaksa mereka bertiga melakukan tugasan masing-masing. Bertugas dalam keadaan tergesa-gesa dan jarang dilakukan pada waktu begini. Enzim dan Asid masih merungut-rungut.

    Menjelang jam 2 petang, mereka semakin hairan apabila tuannya tidak menyuruhnya berkerja. “ Eh, kenapa tak ada makanan masuk ye, tadi jam 10 pagi tak ada jugak, tuan kita ni tak ada duit ke?, keluh si Asid.

    Tiga jam kemudian, si Asid mengeluh lagi, “ Wah, lama betul kita rehat hari ni, air kosong pun tak masuk, jom kita relak dan menyanyi! Mereka bertiga pun menyanyi dan menari. Masing-masing mengutuk antara satu sama lain kerana suara sumbang mereka. Lagu yang tiada irama dan tiada melodi. Kriookk, kreekk, krukkk. Kata si Enzim, “ Kita mana tau lagu lain, dari kecik lagu ni je yang kita tahu!

    Jam sudah menunjukkan hampir 7.30 malam. Tiba-tiba Asid menjerit kuat. “ Tolongggg, tolongggg….. “ Apahal kau ni Asid!, sergah Enzim.

    “ Kau tak nampak ke tu, bermacam-macam makanan dan air masuk dalam bilik kita ni. Tadi kita seronok tak ada kerja. Kalau banyak macam ni, 6 jam pun tak abis kita kerja malam ni, bos kita dah tidur tapi kita masih berkerja”, kata Si Asid dengan muka berkerut. Bakteria kaget dan terdiam.

    “ Ya lah, ada macam-macam makanan ni, selalunya nasi je, tapi ni ada mee, rojak, karipap. Eh, cendol pun ada”, keluh si Enzim.

    “ Betullah, air pun ada dua tiga warna ni, mandi lencunlah kita. Bahaya ooo, ini air pewarna. Malam ni kita kena overtimelah”, sampuk Bakteria. Dia terus merungut dan mengomel, dia terus bersyarah, “ Tapi tak pa, bos kita paksa kita kerja lebih masa, nanti aku pulas usus dia, aku keluarkan gas, nanti kita tenguklah, bos kita akan lama mencangkung dalam tandas, lembiklah dia lepas tu, silap-silap waktu maghrib pun abis.

    Esoknya, kira-kira pada waktu yang sama, Si Asid menjerit lagi, “ Bangun-bangun! Kita kerja awal lagi hari ini”. Bakteria tersedar dan berkata,” Ooooo…kau orang lupa ke, semalam kita kerja awal, hari ni pun kerja awal, maknanya dah masuk bulan puasalah, bulan Ramadhan”. Asid dan Enzim angguk tanda setuju.

    “ Aku nak SMS kawan kita yang lain, nak tanya khabar mereka”, kata Asid. Mereka bertiga terus berkerja pada pagi itu sambil merungut-rungut kerana tidak biasa berkerja pada waktu begitu .Dan seperti Ramadhan yang lepas, biasanya mereka mengambil masa seminggu untuk menyesuaikan diri dengan rutin baru ini.

    Tiba-tiba Asid bersuara, “ Kawan kita yang bosnya selalu pergi masjid tu dah jawab SMS. Dia kata dia dah biasa kerja awal pagi ni. Paling tidak sekali dalam seminggu. Dan dia kata, waktu bosnya berbuka puasa, tak banyak makanan, biasa saja dan tak perlu buat overtime. Tak macam kita, bilik kita macam tong sampah. Aku kesian juga kat kawan kita kat bawah tu, Si Usus Besar, padat bilik dia. Bau bilik dia jangan cakaplah..... ”.

    “ Untung ye kawan kita tu, dia dah tak terkejut kerja pada awal pagi. Dia dah lama dapat rehat, seminggu sekali pulak tu. Kita ni berkerja 335 hari tanpa henti , siang malam, 30 hari je dapat rehat. Itu pun rehat waktu siang. Bila bos kita berbuka, teruk kita dibuatnya, bukan dia saja tersandar, kita pun tersandar lebih masa kerja. Lepas tarawih kang ada moreh, kita keja lagi”, kata si Enzim.

    “ Hahahaha….gelak si Bakteria. “ Nasib kita lah, sabor je dalam sebulan ni.... nanti bila bulan syawal, bersedialah kita, bukan overtime lagi dah, tapi dah tak ada time untuk kita rehat, macam-macam masuk dalam bilik kita ini, dah nasib kita!!

    “ Abih camno, tak dapek den nak nolong eh, tapi harap-harap bos kita dapat dengar keluhan kita ni, lepas Ramadhan ni dia beri kita rehat sikit, kalau tak dapat seminggu sekali, sebulan sekali pun ok dah”, kata si Asid dengan muka serius dan masam. Asid ini memang sifatnya masam.

    “ Yolah botul tu, bos kita ingat kito ni mesin ko, mesin pun ado maso rehat eh”, sampuk Bakteria.
    “ Aku ada idea, kita pesan kawan kita tu, suruh bos dia ajak bos kita supaya rajin-rajin dengar ceramah agama dan sembahyang berjemaah kat surau tu. Ni tak, bos kita asyik sembahyang kat rumah je. Nanti bila dah dengar ceramah agama, harap-harap dia ubah sikap. Paling tidak dia belajar-belajar puasa sunat, kita dapat rehat”, Si Enzim memberi cadangan.

    “ Betul tu! balas Bakteria. “Kau nak tahu tak, semalam aku lepaskan geram kat bos kita sebab dia lambakkan macam-macam dalam bilik kita. Masa dia sujud, aku keluarkan gas, lalu keluar balik cendul hijau kat hidung dia, padan muka kelahap sangat!”.

    “ Hahahaha…., mereka bertiga gelak berderai-derai.

    Tiba-tiba rakan mereka di bilik paru-paru bersuara, iaitu Si Alveoli. “ Oii…apa yang kau orang seronok sangat ni?

    “ Saja, kita orang gelakkan bos kita ni. Kau pulak apakhabar? Bilik kau orang okey tak sepanjang puasa ni?, tanya Enzim pada Alveoli.

    “ Alahhh, kau buat-buat tanya pulak, siang hari je bilik kita orang ni tak berasap. Nanti lepas buka puasa, kita orang lemaslah balik. Macam inilah gamaknya, dah berpuluh tahun macam ni”, komen si Alveoli

    "Aku pun hairan juga, bos kita ni boleh pulak tak berasap selama 12 jam pada bulan Ramadhan ini, tapi pada bulan lain, dua tiga jam sekali bilik kita orang mesti penuh dengan asap “, si Alveoli terus mengeluh.

    “ Kita kena pesan kat kawan kita kat bilik paling atas tu, Si Otak supaya suruh bos kita berhenti menganaiya kau orang. Suruh kuatkan semangat bos kita ni”, balas si Bakteria.

    “ Setahu aku, Si Otak dah naik malas dah, bos kita ni selalu kata dia dah lama tahu akan keburukan telan asap ni, dulu bos kita penah taubat sedut asap ni, tapi taubat cili padi", jawab si Alveoli..

    “ Kami semua dalam bilik ni dah makin tak larat dengan asap ni dan ada kawan kita orang dah tak larat nak kerja ambik oksijen dah, dia keluarkan lendir . Itu yang banyak kahak, bos kita semput dan nafas pendik. Agaknya bos kita nak jadikan bilik paru-paru ni jadi simpanan toksik dan jadi kanser macam kawan bos kita tu yang mati baru-baru ni”, mereka terdiam mendengar cerita si Alveoli.

    “ Yer ke, nanti bilik kau kena kanser, bila kita orang pun boleh kena jugak”, sampuk Si Asid.

    Dalam mereka berbual-bual, Si Telinga juga menyampuk, “ Aku dah biasa dengar dalam iklan, tentang keburukan asap ni”.

    Si Mata yang diam dari tadi berkata, “ Betul tu, aku pulak dah biasa membaca, malah sekarang ni, kat kotak rokok pun aku lihat bermacam-macam gambar ngeri akibat telan asap ni, tapi bos kita buat dek je. Dan kau orang nak tahu tak, hari tu mata aku ni tengok lama perempuan seksi tau, naik juling aku dibuatnya. Nama je puasa bos kita ni, aku tak diajaknya puasa sekali!

    “ Aku pun ada dengar dalam Radio, menyuruh orang yang berjaya kurang merokok dalam bulan puasa ini, supaya kurangkan rokok pada bulan lain, kalau dapat terus berhenti lagi baik, tapi cuping aku dah tebal”, kata si Telinga sambil tersengeh.

    “ Yalah, aku pun ada tenguk, ada orang kat Masjid tu, sebelum dia sembahyang dia sempat lagi berasap tu”, kata Si Mata menyindir.

    “ Betul tu, ada hidung orang lain yang sensitif dengan bau asap ni dan menganggu solat dia orang, nanti buat pahala dan buat dosa serentak”, jawab Si Hidung yang dari tadi asyik menghidu.

    Tiba-tiba Si Mulut berkata, “ Aku malas nak komenlah, bos kita ni jarang benar berzikir dan baca Al Quran dalam bulan puasa ni. Dia suruh aku bercakap pasal kerja dan masalah harian dia saja. Pada bulan lain, lagilah liat lidah aku ini untuk berzikir. Yang paling aku tak suka, aku maki hamun orang, macam tak ada beza dengan bulan tak puasa".

    Dengan penuh bersemangat Si Alveoli menyeru, “ Jom kita buat deklarasi dan memorandum moga tuan kita akan berubah laku lepas puasa ni tahun ini, nanti kita semua akan lebih sihat dan selamat, bos lagilah selamat. Dia panjang umur, kita semua akan bertambah usia, bos mati, kita semua akan mati serentak tau!

    Enzim bersuara. “ Nanti dulu, jangan lupa ajak si Hati, dia yang paling penting, tanpa dia, tak berkesan saranan kita nanti. “ Betul tu, tapi aku tengok si Hati pun dok muram saja, dia pernah beritahu aku yang dia pun sedih dengan bos kita. Badan si Hati makin kotor dan tidak sihat. Dia cuma diberi makanan berzat saja, tapi tak diberi secukupnya makanan hati”.

    “Okey lah, nanti kita bincang dengan Hati, kita tanya pendapat dia. Rosak si Hati, kita semua akan rosak ”, kata si Asid.

    dari blog keluarga -dr yusof

    Saturday, August 22, 2009

    Moga Ramadhan Kali Ini Lebih Baik...

    Setiap tahun kita bertemu dengan Ramadhan. Selagi kita dilanjutkan usia oleh Allah selagi itulah kita bertemu dengan Ramadhan. Cuma bezanya ialah bagaimana kita mengisi Ramadhan itu. Adakah kita memperolehi kerahmatan, keampunan dan keberkatan setiap kali kita bersama Ramadhan.
    Mari kita renungkan kembali Ramadhan yang lalu, yang telah beberapa kali pergi dan datang kembali menemui kita. Adakah Ramadhan kali ini kita sambut dengan penuh keimanan, ketaqwaan dan keihklasan? Adakah kali ini lebih adalah lebih baik dari tahun lalu? Apakah amal ibadat kita pada Ramadhan tersebut diterima oleh Allah s.w.t. sebagai amal yang sempurna? Marilah kita muhasabah diri dan juga amal ibadah agar Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang lalu.
    Menghadapi Ramadhan bererti kita berpeluang merebut ganjaran yang ditawarkan oleh Allah. Untuk mendapatkan ganjaran itu kita perlu mempersiapkan diri dari spritual dan fizikal. Antara persiapan itu ialah:
    1. Persiapan Iman: Iman adalah tenaga dan kekuatan dalaman yang menjadi motivasi untuk menggerakan ibdah di bulan Ramadhan. Sebelum masuk bulan Ramadhan usaha meningkatkan iman perlu dilakukan seperti banyak membaca al-Quran, beristighfar, berzikir mengngati Allah, qiamullail dan berpuasa sunat. Persiapan awal dapat membantu kita untuk menghadapi Ramadhan dengan jayanya.
    2. Persiapan Ilmu: Kita perlu mengulangkaji dan mendalami ilmu-ilmu yang barkaitan ibadah puasa dan amalan-amalan subat di bulan Ramadhan. Melalui persiapan ilmu ini, akan menambahkan lagi kekuatan kita untuk melakukan ibadah kepada Allah. Ibadah yang kita lakukan akan lebih sempurna.
    3. Persiapan Fizikal: Jagalah kesihatan diri supaya kita dapat menunaikan ibadah puasa dengan jayanya. Kawal nafsu makan kerana makan terlalu banyak akan melemahkan kita untuk beribadah.
    4. Persiapan Rohani: Berusahalah untuk memelihara anggota badan daripada melakukan kemungkaran. Peliharalah lidah daripada mengumpat, mencela, mengeji, mencaci dan menghina orang lain. Jagalah mata dari melihat perkara-perkara maksiat. Begitu juga dengan anggota-anggota yang lain. Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan munim sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan keji, maka Allah tidak ada hajat kepada makanan dan minuman yang ditingglkannya" (HR al-Bukhari)
    5. Persiapan Kewangan: Peruntukanlah sebahagian harta untuk bersedekah dalam bulan ini kerana ganjaran kepada orang yang bersedekah amat besar.
    Mudah-mudahan dengan persiapan yang baik, kita dapat melalui Ramadhan pada kali ini lebih daripada tahun-tahun yang lalu.

    Sumber: Unit Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor.

    DOA KETIKA BERBUKA PUASA


    "Allahumma laka sumtu wabika amantu wa ala rizkika afthartu birahmatika ya arhamarrahimin"
    Maksudnya :“Ya Tuhanku, keranaMu jua aku berpuasa, dan denganMu aku beriman dan di atas rezekiMu aku berbuka dengan belas kasihMu Ya Allah Ya Amat Mengasihi”.
    Adab Berbuka Puasa
    1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar.
    2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar.
    3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat.
    4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka.
    5. Berdoa ketika berbuka.
    6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka.

    Hanya beroleh lapar dan dahaga…

    Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan tidak meninggalkan berkelakuan dusta (berdusta dengan anggota), maka Allah s.w.t. tidak akan memberikan apa-apa ganjaran ke atas keletihannya meninggalkan makan dan minum (berpuasa)". HR. Bukhari

    Dalam riwayat yang lain, sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Aada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi dari puasanya itu selain daripada lapar dan dahaga". HR. Ibn Majah, Ahmad dan Al-Baihaqi

    Ketika berpuasa hendaklah menjaga adab-adab zahir dan adab-adab batin. Maksud adab-adab zahir ialah menjaga puasa itu agar sah menurut Ilmu Fikh, maka mestilah menahan diri dari makan, minum dan segala yang membatalkan puasa. Maksud adab-adab batin pula ialah menahan anggota badan daripada melakukan kerja-kerja maksiat.

    Kita hendaklah juga menahan mata melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak seperti melihat aurat perempuan yang bukan muhrimnya dan kita hendaklah menahan telinga daripada mendengar bunyi-bunyian atau percakapan yang diharamkan oleh syarak dan juga hendaklah kita memelihara lidah daripada bercakap bohong, mencaci orang, bercakap kasar yang boleh menimbulkan permusuhan dan seumpamanya.

    Selain dari itu kita dituntut pula menjaga anggota badan yang dari membuat dosa, seperti kaki dan tangan. Perut pula mesti dijaga supaya jangan diisi ketika berbuka puasa dengan makanan yang haram.

    Apalah gunanya berpuasa daripada makanan halal tetapi ketika berbuka puasa, perutnya dipenuhi dengan makanan yang haram yang menyebabkan puasa kita menjadi sia-sia dan mendapat kemurkaan Allah s.w.t.

    Satu cara untuk mengelakan diri kita daripada mudah terdedah kepada pengurangan pahala berpuasa, jangan pergi ke tempat-tempat yang ramai pengunjungnya seperti pasaraya, pasar Ramadhan dan sebagainya, kerana tempat-tempat itu menyajikan bermacam bentuk godaan terutamanya mata dan nafsu perut. Mata akan melihat aurat perempuan, sementara perut pula beli makanan melebihi dari keperluan...

    Bak kata lirik lagu nyanyian Raihan: "Semoga puasa kali ini lebih bermakna...."

    Friday, August 21, 2009

    Ramadhan Yang Dinanti-nantikan...

    Ucapkanlah 'ahlan wa sahlan ya Ramadhan'. Selamat datang wahai Ramadhan yang penuh dengan kerahmatan, keampunan dan keberkatan.

    Rasulullah dan para sahabat menunggu-nunggu kedatangan Ramadhan. Mereka amat merindui Ramadhan bahkan mereka menanti-nantinya sejak dari bulan Safar lagi. Jika Ramadhan bukan bulan yang amat istimewa, sudah tentu mereka tidak akan menanti-nanti kedatangannya.

    Terlalu banyak tawaran yang ditawarkan oleh Allah dalam bulan Ramadhan. Pahala berganda dan keampunan Allah terbuka luas. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu". (HR Tabrani)

    Inilah tawaran yang cukup hebat disebabkan bulan Ramadhan yang mulia ini. Bulan yang membawa sejuta rahmat, keampunan dan mudahnya doa dimakbulkan serta berbagai-bagai lagi tawaran Allah sempena Ramadhan. Justeru, sekiranya manusia tahu akan kelebihan bulan Ramadhan ini, sudah tentulah mereka akan mengharapkan sepanjang tahun adalah Ramadhan.

    Inilah bulan untuk mengaut keuntungan pahala yang berlipat ganda, sebagai bekalan di akhirat nanti, bulan untuk meningkatkan lagi amal ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah. Amat malang jika kedatangan bulan Ramadhan tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya atau dipersia-siakan. Oleh itu, jauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa. Jagalah penglihatan, pendengaran dan peliharalah lidah dari melakukan perkara-perkara keji dan haram. Perbaiki akhlak dan tingkahlaku di bulan puasa. Hormatilah bulan Ramadhan seperti menghormati tetamu yang mulia. Jangan cemarkan kesucian bulan Ramadhan seperti tidak berpuasa atau makan di khalayak ramai. Ingatlah, jika sehari meninggalkan puasa di bulan Ramadhan, tidak dapat menebusnya kembali walaupun berpuasa sepanjang tahun.

    Sempena kedatangan Ramadhan kali ini, rebutlah peluang keemasan ini dengan menjadikan seluruh kehidupan sebagai ibadah kerana ganjaran pahalanya amat besar. Kalaulah diumpamakan sebagai seorang pekerja dan ditawarkan dengan upah yang lumayan, sudah tentu pekerja itu tidak akan melepaskan peluang yang ada. Dia pasti bekerja bersungguh-sungguh. Oleh itu, jadilah pekerja yang beruntung.

    Mudah-mudahan Allah menyirami hati kita dengan nur hidayah sehingga menjadikan hati-hati kita amat merindui dan mencintai Ramadhan. Jika belum terdetik sedikitpun perasaan itu, maka mohonlah kepada Allah dengan keberkatan Ramadhan supaya Allah pancarkan nur hidayahNya untuk mencintai Ramadhan.

    Sumber: Unit Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor.

    Wednesday, August 19, 2009

    DOA KETIKA PENYAKIT MENULAR...


    Saturday, August 15, 2009

    Adakah H1N1 Merupakan Konspirasi Kapitalis?

    Berikut merupakan artikel yang ditulis oleh Hishamuddin Rais:
    Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motosikal, akan ada paku-paku tajam ditaburkan. Ia bertujuan membocorkan tayar.

    Tidak berapa jauh dari tempat paku itu, ada pula iklan "tukar tiub".

    Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di jalan menuruni terowong lebuh raya Karak sering ditaburkan minyak. Pernah sekali keretanya tergelincir.

    Tidak jauh dari terowong ini, ada lori tarik kereta menunggu. Cerita ini contoh taktik untuk menjalankan perniagaan - cara mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan, rukun imannya ialah keuntungan. Semua peniaga ingin mendapat untung.

    Lebih banyak untung, lebih cepat jadi kaya.

    Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 44 orang telah ditewaskan oleh virus selesema A (H1N1). Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

    Apa sebenarnya semua fenomena ini?

    Pada 1963, satu persidangaan diadakan di Iron Mountains, tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika Syarikat sedang bertarung di Vietnam, Laos dan Kemboja.

    Persidangan para pemikir ini untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku peperangan.

    Laporan dari Iron Mountains telah mengajukan:
    - Pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba kepada kaum korporat,
    - Perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial,
    - Melahirkan musuh sebagai strategi politik.

    Dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetik dan pembunuhan besar-besaran dalam usaha untuk mengawal manusia bagi memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis.

    Di sini juga bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi – bioterrorism. Teknologi hayat akan digunakan sebagai senjata untuk mengawal umat manusia.

    Pada 1970 telah keluar satu memo, National Security Memo No: 200. Memo ini ditulis oleh Henry Kessinger yang menimbulkan bagaimana wajib dikawal ledakan penduduk yang semakin bertambah dalam dunia hari ini.

    Memo No: 200 ini mencadangkan agar dijalankan usaha untuk mengurangkan penduduk dunia.

    Petikan sebahagian kandungan memo tulisan Kessinger:

    "There is a major risk severe damage to world economy, political and ecological syatem begin to fail to our humanitarian values. The urban slums dwellers (though apprently not recent migrants) may serve as a volatile, violent force which threatened political stability.

    International relation - population factors are crucial in and after determinants of violent conflicts in developing areas. There is no single approach which will solve the population problem.

    The complex social and economic factors involved call for comprehensive strategy… At the same time action and program must be tailored to specific countries and group.

    "Dalam bahasa mudah, Kessinger melihat manusia miskin – penduduk miskin kota - sebagai sampah dan perlu dikawal dan dibersihkan. Ia samalah dengar dasar 'setinggan sifar' yang selalu diuar-uarkan dalam negara kita ini.

    Justeru, hari ini ada berpuluh-puluh lembaga, badan dan makmal sedang membuat kajian biologi. Ada yang bergantung rapat dengan universiti. Ada yang berkait rapat dengan kaji selidik tentera. Ada yang diwujudkan oleh syarikat pembuat ubat.

    Malah semua makmal penyelidikan ini kait-mengait antara satu sama lain. Lembaga-lembaga ini semuanya mendapat dana daripada syarikat pembuat ubatan-ubatan dan mendapat kontrak daripada Jabataban Pertahanan Amerika Syarikat.

    Semua lembaga dan makmal ini adalah lembaga kapitalis. Tujuan penyelidikan ilmiah mereka untuk membuat keuntungan maksimum. Ilmu pengetahuan mereka bukan digunakan untuk kesejahteraan umat manusia tetapi untuk mencari jalan agar perniagaan mendapat untung besar.

    Syarikat ubat-ubatan bernabikan keuntungan. Lagi ramai yang sakit, lagi baik untuk ubat dijual. Kesihatan ialah perniagaan – inilah dasar kaum kapitalis.

    Justeru, jangan terperanjat jika saya nyatakan bahawa virus AIDS, HIV, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal.

    Seperti memerangkap Mat Rempit agar tayar motosikalnya bocor, begitu jugalah kajian biologi di bilik-bilik makmal yang sedang dilakukan oleh kaum kapitalis ini.

    Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap – bukan dengan menjual tiub. Mereka melepaskan virus-virus ini dengan dua tujuan:

    1 – mengurangkan penduduk dunia, dan
    2 – menjual ubatan.

    Tidak masuk akal? Ia hanya teori konspirasi? Ia pandangan gila Hishamuddin Rais? Sabar dahulu.

    Cuba fikirkan pula bagaimana depleted uranium (DU) sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Peluru-peluru baru yang dibuat oleh syarikat persenjataan menggunakan DU dalam peluru yang dapat meledakkan apa sahaja – dari kereta perisai hingga ke tembok-tembok tebal.

    DU ini, daripada apa yang diheboh-hebohkan, adalah uranium yang telah mandul kuasanya. Justeru tidak berbahaya kepada manusia. Kenyataan ini bohong!Kajian demi kajian telah dijalankan yang menunjukkan DU ini masih membawa padah dan malapetaka yang maha hebat kepada umat manusia.

    DU akan melahirkan barah. Anak-anak yang baru lahir di Iraq dan Afghanistan – apabila ibu atau ayahnya telah terhidu DU – akan lahir bukan seperti bayi.

    Ada yang berkepala besar. Ada yang bermata satu. Ada yang bengkang-bengkok. Bayi-bayi ini gergasi cacat yang dimunculkan oleh teknologi kaum imperial Anglo-Amerika.

    Tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Penduduk akan berkurangan. Yang hidup akan terus-menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat.

    Ini pandangan karut daripada Hishamuddin Rais? Kerana DU juga terkena kepada tentera mereka juga. Betul.

    Memang betul ada beribu-ribu tentera British dan soldadu Amerika yang telah mengambil bahagian dalam perang Desert Storm dan sedang menghadapi apa yang dipanggil Gulf Syndrom.

    Ia adalah penyakit baru - pengidapnya akan mati perlahan-lahan. Pada akhir 1980-an, para veteran Desert Storm di United Kingdom menuntut agar Golf Syndrom ditakrif sebagai penyakit.

    Permintaan ini telah ditolak oleh kerajaan. Kerajaan menafikan wujudnya penyakit ini.

    Para veteran – satu demi satu mati. Anak-anak mereka yang baru lahir ramai yang cacat sama seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan.

    Jangan hairan, kaum kapitalis memang tidak berhati perut. Apa yang penting, keuntungan besar. Dan ini juga selari dengan dasar yang telah dibincangkan di Iron Mountains.Ia juga dasar yang sedang dijalankan mengikut Memo No: 200 yang disarankan oleh Kessinger.

    Umat manusia perlu dikurangkan dalam dunia ini agar mereka yang kaya terjamin kesempurnaan hidup mereka - samalah seperti mengawal penduduk Kampung Kerinchi daripada berpindah ke Country Height atau menggodam setinggan di Kampung Berembang atau Buah Pala agar mereka tidak berani membuat rumah di Bukit Tunku.

    Juga, hampir kesemua soldadu yang berperang itu adalah anak-anak kelas bawahan. Mereka ini, seperti kata Kessinger, sampah yang akan membawa masalah.

    Soldadu Amerika hampir 80 peratus berkulit hitam dan Latino. Menghantar mereka ke medan perang cara terbaik untuk mengurangkan jumlah mereka.

    Anak-anak orang kaya tidak akan masuk menjadi tentera. Malah George W Bush sendiri telah mengelak daripada pergi menyertai Perang Vietnam.

    Apabila saya membaca, mengkaji dan meneliti dokumen yang "dibebaskan" atau yang telah dibocorkan, maka ternyata virus terbaru A (H1N1) ini juga telah menetas dari bilik makmal.

    Dasar pengurangan umat manusia di bumi ini sedang berjalan dengan baik. H1N1 ini adalah sebahagian dari strategi itu.Jika kurang yakin tentang apa yang saya cuba nyatakan di sini – atau menganggap ia hanya teori konspirasi – sila cari dan baca.

    Ada berjuta-juta bahan kajian ilmiah dan tulisan-tulisan para penyelidik yang menimbulkan isu ini. Semua ini amat senang untuk ditemui dalam internet.

    Pada ketika ini, tela diheboh-hebohkan tentang satu vaksin yang akan muncul untuk melawan H1N1. Ia juga pengiklanan besar dari kaum kapitalis.

    Untuk sementara waktu kita diberitahu bahawa vaksin ini masih dalam kajian.Bayangkan, mula-mulanya kita ditakut-takutkan. Kemudian kita diberitahu jangan takut, ada jalan selamat. Tetapi jalan selamat ini wajib dibayar. Cukup senang untuk memerangkap.

    Sama seperti menabur paku di jalan raya untuk membocorkan tayar motosikal Mat Rempit. Beginilah sifat kapitalis. Beginilah cara kaum kapitalis membuat untung.

    Dalam sistem ekonomi sosialis - ubatan adalah untuk kesihatan, bukan untuk keuntungan. Dalam sistem ekonomi sosialis, hospital milik rakyat, bukan untuk diswastakan.

    Dalam ekonomi sosialis, perubatan untuk semua dan bukan untuk yang kaya.

    Dalam sistem masyarakat sosialis, umat manusia penjana tamadun, bukan sampah yang perlu dihapuskan. Fikrah manusia digunakan untuk kebaikan, bukan untuk keuntungan..

    Sumber : Malaysiakini

    Kawalan Jangkitan Influenza A (H1N1) di Rumah

    1. Amalan adab batuk yang baik
    • Pesakit mesti amalkan adab batuk yang betul. Gunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Cuci tangan dengan sabun dan air atau bahan cuci tangan berasaskan alkohol. Buang semua tisu yang digunakan ke dalam tong sampah.

    2. Jaga kebersihan diri
    Pesakit dan semua ahli keluarga mesti mengambil langkah-langkah berikut:
    • Kerap mencuci tangan dengan sabun atau air atau baham cuci tangan berasaskan alkohol.
    • Keringkan tangan dengan tisu atau tuala yang berasingan untuk setiap ahli keluarga.
    • Cuci peralatan yang biasa digunakan dan permukaan-permukaan yang kerap disentuh dengan menggunakan bahan pencuci yang biasa terdapat di rumah.

    3. Jangan kongsi peralatan peribadi
    • Jangan berkongsi peralatan peribadi.Peralatan seperti pinggan-mangkuk dan kain seperti tuala, cadar dan selimut tidak boleh dikongsi oleh ahli keluarga pesakit. Semua barangan ini perlu dicuci dengan sabun dan air.

    4. Menjarakan diri (social distancing)
    • Pesakit dinasihatkan supaya tidak meninggalkan rumah sehingga mereka sembuh, lazimnya selama 7 hari.
    • Pesakit seboleh-bolehnya diminta tinggalkan di bilik berasingan.
    • Ahli keluarga, khususnya yang cenderung mendapat komplikasi (khususnya ibu hamil) seboleh-bolehnya hendaklah menjarakkan diri daripada pesakit (sekurang-kurangnya satu meter) untuk menggelakkan jangkitan.
    • Sekiranya pesakit keluar rumah (contohnya mendapat rawatan) beliau hendaklah memakai penutup mulut dan hidung (mask), mengamalkan adab batuk yang baik dan kerap memcuci tangan.

    Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah
    Secara umumnya demam selsema boleh sembuh dengan sendiri. Namun begitu, anda perlu SEGERA mendapatkan rawatan di hospital jika demam serta batuk atau sakit tekak, DAN mempunyai sekuarang-kurangnya satu gejala berikut:

    1. Sukar benafas.
    2. Batuk berdarah atau kahak berdarah.
    3. Sakit dada berterusan.
    4. Kerap cirit birit atau muntah yang kerap, atau kedua-duanya.
    5. Demam berterusan melebihi 3 hari ataupun demam berualang selepas 3 hari pulih.
    6. Berkelakuan ganjil, celaru, kurang responsive kepada rangsangan, sawan.
    7. Pening bila berdiri.
    8. Kurang kencing.

    Perhatian:
    Kalau denggi, nampak nyamuk aedesnya lalu kita serang habis-habisan; kalau taun, nampak lalatnya juga kita serang habis-habisan; kalau H1N1, apa yang nak kita serang???


    Sama-samalah kita melakukan solat hajat dan berdoa semoga Allah menjauhkan kita semua daripada bala penyakit ini.

    Sunday, August 9, 2009

    PEROKOK: Otaknya Semakin Parah..




    Kerajaan telah mewajib pengeluar rokok hemdaklah meletakan gambar-gambar penyakit pada kotak rokok. Ini menunjukan betapa hebatnya kedegilan golongan ini supaya berhenti merokok. Disaran secara nasihat pada peringkat awalnya, diikuti dengan kempen 'tak nak' dan menaikan harga rokok; namun golong ini masih meneruskan tabiat merokok. Perokok baru turut bertambah bermula dari murid-murid sekolah lagi. Kempen meletakan gambar-gambar penyakit pada kotok rokok pun nampaknya tidak mengerunkan mereka. Semua rangkaian tv dan radio turut berkempen, menerangkan tentang keburukan rokok. Apa yang berlaku mereka tetap kisah. Inilah kesannya bila otak dah rosak oleh bahan beracun dari rokok. Keadaan bertambah kronik bila 'hawa' turut berminat untuk merosakan otaknya. Lantaran itu sesuailah dianggap bahawa otak perokok telah rosak kerana tidak boleh lagi berfikir dengan wajar. Mereka sanggup bakar sampah di mulut mereka...




    angKaRa siapa ni?

    Kelebihan Syaaban

    SAIDATINA Aishah r.a ada berkata, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka, juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Sesungguhnya mereka dalam keadaan kenyang, tidak lapar dan tidak haus."
    Bulan yang dinyatakan dalam hadis terbabit adalah antara yang disebut-sebut banyak kelebihan, sehingga hadis berkenaan menyatakan mereka yang berpuasa tidak akan lapar dan haus pada hari kiamat kelak.
    Dalam memberikan penjelasan berkaitan tiga bulan yang berturut-turut itu, ada pihak membuat perumpamaan tahun dengan pohon, iaitu Rejab umpama waktu keluarnya daun, Syaaban diumpamakan keluarnya bunga dan Ramadan umpama buahnya. Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rejab bulan Allah dan Syaaban itu bulanku, manakala Ramadan itu bulan umatku." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).
    Ketiga tiga bulan disebut Nabi s.a.w itu adalah bulan rahmat, kasih sayang dan kesejahteraan. Bulan yang penuh keberkatan dan keampunan. Sesetengah ulama menyatakan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa manakala bulan Syaaban untuk memperbaiki diri daripada segala macam cela dan Ramadan adalah waktu menyucikan hati dan jiwa.
    Syaaban bermaksud berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana pada bulan itu masyarakat Arab dulu bertempiaran ke serata tempat untuk mencari air, sehingga ada yang mencarinya sampai ke gua. Ia juga diertikan demikian kerana menjadi 'bulan pemisah' iaitu memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan.
    Nabi s.a.w menjelaskan Syaaban mengandungi keutamaan dan kebaikan yang banyak, dengan nilai berganda bagi mereka melaksanakan kebaikan dan ibadat dengan ikhlas dan bersungguh. Baginda bertanya kepada sahabat, maksudnya: "Tahukah kamu sekalian mengapa bulan ini dinamakan Syaaban?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui." Baginda menjawab: "Kerana pada bulan ini bercabang banyak kebaikan".
    Dengan keutamaan yang ada pada Syaaban ini, Baginda memanfaatkan kesempatan untuk meningkatkan prestasi ibadat dan amal kebaikan sehingga seolah-olah Baginda tidak pernah melakukan sedemikian pada bulan lain. Nabi s.a.w sendiri sering berpuasa pada bulan ini. Daripada Saidatina Aishah, beliau berkata maksudnya: "Adalah Rasulullah s.a.w sering berpuasa hingga kami menyangka yang Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka yang Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak di bulan Syaaban." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
    Hadis ini menerangkan kepada umat Islam sekalian, Syaaban memang bulan sangat digalakkan beramal ibadat selain bulan lain, sesuai dengan statusnya sebagai gerbang Ramadan. Rasulullah s.a.w pernah mengumpamakan bulan Syaaban dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi lain. Sabda Baginda bermaksud: "Keutamaan Syaaban ke atas bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi lain sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya".
    Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban ialah memperbanyakkan ibadat sunat termasuk puasa, doa, zikir, selawat dan bertaubat daripada kesalahan yang dilakukan.Walaupun amalan ini sukar, ganjaran yang menanti adalah berganda. Ibadat sunat pada Syaaban juga sebagai persediaan untuk lebih cergas beribadat siang dan malam pada Ramadan.
    Syaaban juga adalah bulan di mana setiap doa orang beriman akan dimakbulkan Allah, sebagaimana dinyatakan Abdullah Umar dalam riwayatnya mengenai hadis Nabi iaitu Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Antara solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah sewaktu malam Jumaat, pada malam 10 Muharam, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha".
    Rasulullah s.a.w bersabda: "Itulah bulan Syaaban di mana manusia lalai mengenainya iaitu antara bulan Rejab dan Ramadan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa." (Hadis Riwayat Ahmad)
    Dalam sejarah umat Islam, bulan Syaaban juga menyaksikan beberapa peristiwa penting seperti perubahan arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram di Makkah.
    Pada bulan ini juga berlaku peperangan Bani Mustaliq iaitu pada Isnin hari kedua Syaaban tahun ke-5 Hijrah, Rasulullah s.a.w bersama 700 tentera pejalan kaki dan 30 tentera berkuda menuju ke wilayah Bani al-Mustaliq.
    Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang memuliakan Syaaban, bertakwa kepada Allah dan taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkan dia pada satu tahun itu daripada semua bencana dan penyakit."

    Alam Sekitar

    Sayangilah kurniaan Allah ini. Hargailah pemberianNya.
    Alam dan manusia saling bantu membantu.
    Kesejahteraan alam, sejahteralah semua kehidupan di alam ini.

    LAKAR ruang MAYA - [LArAM] ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

    TOPO