Saturday, August 29, 2009

Inilah masanya......

Bulan Ramadan adalah masa terbaik kita menyucikan jiwa. Inilah masa untuk meluntur jiwa supaya patuh dan taat pada perintah Allah. Jiwa yang selama ini melakukan maksiat kepada Allah, perlu disucikan. Tidak ada peluang yang lebih baik untuk mensucikan diri selain Ramadan kerana di bulan yang penuh dengan limpahan keberkatan ini, syaitan dibelenggu sebagai tanda kemuliaan Ramadan.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Apabila datang Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan" (HR al-Bukhari dan Muslim)

Jiwa kita diumpamakan sebagai mentol yang terang. Namun setiap kali kita melakukan dosa dan maksiat, satu titik hitam akan melekat ke dalam hati dan jiwa kita. Lama kelamaan mentol yang bersinar itu akan dilitupi oleh titik hitam sehingga mentol yang terang itu tidak dapat lagi menembuskan cahayanya.

Begitulah jiwa kita, yang perlu dibersihkan supaya cahayanya dapat memancar untuk menunjuk jalan. Oleh itu, sucikan jiwa dengan banyak beristighfar mohon keampunan daripada Allah. Bertaubat di atas ketelanjuran sama ada terhadap Allah atau sasama makhluk. Bertaubatlah dengan taubat nasuha iaitu:

  • Segera meninggalkan maksiat yang dilakukan.
  • Menyesal di atas perlakuan maksiat yang telah dilakukan.
  • Berazam untuk tidak akan mengulangi lagi maksiat.

    Itulah syarat taubat nasuha yang dapat menyucikan jiwa. Apabila jiwa telah suci akan terpancarlah hidayah Allah. Apabila jiwa telah dipenuhi dengan hidayah Allah dan syaitan pula telah dibelenggu dengan kemuliaan Ramadan, maka inilah masanya, SUBUH tidak lagi terlewat malah saat menunggunya diisi dengan bacaan ayat suci al-Quran.

    Inilah masanya, tangan berjabat mengeratkan silaturahim, hati diisi dengan kasih sayang melalui zakat, membuang dendam dan dengki yang selama ini terpatri di hati. Inilah masanya, tiada lagi kata nista, umpat dan keji menutur di bibir. Inilah masanya, alunan zikir bertali arus menunjukkan rindu kasih seorang kepada Tuhannya.

    Inilah masanya, tangan kanan menghulur sumbangan kepada yang memerlukan sebagai tanda persaudaraan sesama Islam. Jiran tetangga bertukar juadah, mengeratkan hubungan 'saudara' terdekat. Inilah masanya, ibubapa diziarahi, hubungan silaturahim diperbaiki dan pusara dikunjungi.

    Inilah masanya, pakaian yang labuh dan menutup aurat menjadi pilihan, tiada lagi yang jarang atau kurang bahan. Inilah masanya, masjid dan surau dipenuhi dengan umat Islam yang ingin mendekatkan diri kepada Allah melalui solat berjemaah termasuk solat tarawih. Inilah masanya, doa dipanjatkan, semoga kehidupan di dunia diberkati, kehidupan di akhirat bahagia menanti.

    Inilah masanya, sucikan jiwa dan ikhlaskan hati bagi kita memulakan hidup baru, sebagai garis permulaan ke arah kejayaan abadi di dunia dan di akhirat.

    Mudah-mudahan, Ramadan kali ini dapat menyucikan jiwa kita daripada segala dosa yang sekian lama menutup jiwa kita. Mohonlah keampunan dan pertolongan daripada Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

    Sumber: Unit Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor.


  • Seja o primeiro a comentar

    Alam Sekitar

    Sayangilah kurniaan Allah ini. Hargailah pemberianNya.
    Alam dan manusia saling bantu membantu.
    Kesejahteraan alam, sejahteralah semua kehidupan di alam ini.

    LAKAR ruang MAYA - [LArAM] ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

    TOPO