Hanya beroleh lapar dan dahaga…
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan tidak meninggalkan berkelakuan dusta (berdusta dengan anggota), maka Allah s.w.t. tidak akan memberikan apa-apa ganjaran ke atas keletihannya meninggalkan makan dan minum (berpuasa)". HR. Bukhari
Dalam riwayat yang lain, sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Aada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi dari puasanya itu selain daripada lapar dan dahaga". HR. Ibn Majah, Ahmad dan Al-Baihaqi
Ketika berpuasa hendaklah menjaga adab-adab zahir dan adab-adab batin. Maksud adab-adab zahir ialah menjaga puasa itu agar sah menurut Ilmu Fikh, maka mestilah menahan diri dari makan, minum dan segala yang membatalkan puasa. Maksud adab-adab batin pula ialah menahan anggota badan daripada melakukan kerja-kerja maksiat.
Kita hendaklah juga menahan mata melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak seperti melihat aurat perempuan yang bukan muhrimnya dan kita hendaklah menahan telinga daripada mendengar bunyi-bunyian atau percakapan yang diharamkan oleh syarak dan juga hendaklah kita memelihara lidah daripada bercakap bohong, mencaci orang, bercakap kasar yang boleh menimbulkan permusuhan dan seumpamanya.
Selain dari itu kita dituntut pula menjaga anggota badan yang dari membuat dosa, seperti kaki dan tangan. Perut pula mesti dijaga supaya jangan diisi ketika berbuka puasa dengan makanan yang haram.
Apalah gunanya berpuasa daripada makanan halal tetapi ketika berbuka puasa, perutnya dipenuhi dengan makanan yang haram yang menyebabkan puasa kita menjadi sia-sia dan mendapat kemurkaan Allah s.w.t.
Satu cara untuk mengelakan diri kita daripada mudah terdedah kepada pengurangan pahala berpuasa, jangan pergi ke tempat-tempat yang ramai pengunjungnya seperti pasaraya, pasar Ramadhan dan sebagainya, kerana tempat-tempat itu menyajikan bermacam bentuk godaan terutamanya mata dan nafsu perut. Mata akan melihat aurat perempuan, sementara perut pula beli makanan melebihi dari keperluan...
Bak kata lirik lagu nyanyian Raihan: "Semoga puasa kali ini lebih bermakna...."
Seja o primeiro a comentar
Post a Comment