Saturday, January 3, 2009

Panduan Menyambut Cahaya Mata

Hampir terlupa ada undangan ke majlis cukur jambul di rumah staf sokongan petang tadi. Masih ada waktu untuk memenuhi undangan walaupun ketika teringat jam sudah 9.00 malam. Bersama isteri agak terkejut kerana majlis diadakan dengan meriah seolah-olah menerima menantu pula. Apa tidaknya, 3 buah kanopi didirikan. Oklah tu....
Kebetulan semalam terbaca risalah ringkas mengenai Aqiqah di Kemboja dan Panduan Menyambut Cahaya Mata. Di sini perturunkan sepenuhnya maklumat tersebut:

AZAN DAN IQAMAH
Baginda SAW bersabda: "Sesiapa yang memperoleh kelahiran cahayamata (anak), maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan diiqamah di telinga kiri, nescaya terlepaslah dari angin tiupan syaitan." Maksud hadis riwayat al-Baihaqi .
Caranya

  • Pegang bayi tersebut dengan mengadap ke arah kiblat.
  • Azankan ke telinga kanannya dahulu.
  • Kemudian pusingkan bayi dan iqamahkan ke telinga kirinya.
  • Cara melakukan amalan ini sama sahaja untuk bayi lelaki dan perempuan.

    Hikmah melakukan azan dan iqamah:

    • Supaya perkara pertama yang didenga oleh bayi itu seruan yang mulia yang mengandungi kebesaran Allah dan dua kalimah syahadah.
    • Agar dakwah kepada Allah dan agama Allah lebih dahulu sampai kepada bayi tersebut daripada mendengar seruan dan hasutan syaitan.

    TAHNIK
    Telah berkata Abu Musa r.a.: "Aku mendapat seorang anak lelaki, aku membawanya kepada Rasulullah SAW. Baginda menamakannya Ibrahim, lalu baginda mentahnikkannya dengan kurma dan mendoakan keberkatan untuknya, kemudian Baginda menyerahkan kembali anak itu kepadaku." Maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
    Tahnik: Amalan memindahkan benda yang manis seperti kurma kepada lidah anak yang baru dilahirkan. Kalau tiada kurma, bolehlah digantikan dengan makanan lain yang manis seperti madu.

    Caranya:

    • Letakkan kurna yang lembut di hujung jari.
    • Gerakkan jari tersebut dalam mulut bayi dengan lemah lembut ke kanan dan ke kiri sehinga meliputi mulut bayi tersebut dengan kurma yang lembut tadi.

    Hikmahnya:

    • Persediaan untuk penyusuan susu ibu dan proses penghadaman.
    MEMBERIKAN NAMA
    Dari Amr bin Syuib katanya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan agar memberi nama kepada anak yang baru lahir pada hari ke tujuh dari hari kelahirannya, menghilangkan kotoran dan mengorbankan aqiqah baginya." Maksud hadis riwayat Tirmizi.
    Daripada Anas r.a. katanya: Telah berkata Rasulullah SAW "Aku telah mendapat seorang anak malam tadi dan aku menamakannya dengan nama datukku Ibrahim." Maksud hadis riwayat Muslim.
    Anak-anak hendaklah diberikan nama yang baik-baik. Daripada Abu Darda' r.a. katanya: Telah berkata Rasulullah SAW "Kamu sekalian di hari kiamat akan dipanggil dengan nama-nama dan nama-nama bapa kamu, maka hendaklah kamu memperelokkan nama-nama." Maksud hadis riwayat Abu Daud.

    BERCUKUR DAN BERSEDEKAH
    Dari Ibnu Abbas r.a., bahawa Nabi SAW mengaqiqah satu ekor kambing untuk cucunya dan berseru: "Hai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah dengan perak kepada orang-orang miskin seberat timbangan (rambut)nya. Mereka berdua lalu menimbangnya, adalah timbangannya waktu itu seberat satu dirham atau sebahagian dirham." Maksud hadis riwayat Tirmizi.
    Caranya:
    • Cukur keseluruhan rambut anak yang baru lahir itu.
    • Timbang rambut yang telah dicukur.
    • Dapatkan nilai perakseberat yang telah ditimbang.
    • Sedekahkan wang tunai seperti nilai yang diperolehi daripada timbangan berat rambut tadi.
    • Amalan ini dilakukan untuk bayi lelaki dan juga perempuan.

    Hikmahnya:

    • Hikmat kemasyarakatan: bersedekah adalah satu amalan yang baik. Selain daripada dapat membantu golongan miskin, ia juga menanamkan semangat kerjasama dan saling bantu membantu dalam masyarakat.

    Larangan:

    • Jangan melakukan qazak iaitu mencukur sebahagian. Dari Abdullah bin Umar r.a. bahawasanya dia berkata: "Nabi SAW telah melarang daripada mencukur sebahagian kepala anak kecil, dan meninggalkan yang sebahagian lain, iaitu qazak." Maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

    KHITAN
    Oleh Abu Hurairah r.a. katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW "Fitrah itu lima, iaitu khitan, memotong bulu di kemaluan, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak." Maksud hadis Bukhari dan Muslim.

    Hukum khitan bagi lelaki:

    • Imam Shafi'e, Imam Malik dan Imam Ahmad berpendapat ianya wajib dan hanya Imam Abu Hanifah yang menyatakannya sunat.

    Pengertian khitan:

    • Dalam istilah syarak, memotong kulit yang mengelilingi kepala zakar di bawah hasyafah.

    Waktu berkhitan:

    • Boleh dilakukan pada hari pertama anak itu dilahirkan kerana apabila ia sudah sempurna akal ia tidak perlu lagi bimbang tentang urusan khitan. Dapatkan nasihat doktor dahulu.

    Hikmah berkhitan:

    • Untuk memastikan kebersihan dan kesucian terjamin semasa melakukan ibadah terutamnya sembahyang.
    • Untuk menghindarkan daripada bahaya dan penyakit yang boleh timbul akibat tidak berkhitan.

    Hukum berkhitan bagi perempuan:

    • Para fuqaha dan imam mujtahid sepakat mengatakan bahawa khitan itu sunat untuk wanita dan tidak wajib. Hanya Imam Ahmad mengatakan ia wajib untuk lelaki dan wanita.

    AQIQAH
    Hukum aqiqah adalah sunat muakkad iaitu sangat digalakkan bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Melaksanakan aqiqah merupakan tanggungjawab ibubapa atau penjaga anak tersebut.

    Waktu aqiqah:

    • Bila-bila masa sejak anak itu dilahirkan dan tidak ada batasnya.
    • Sunat melakukannya pada hari ke 7, ke 14 dan ke 21.

    Syarat-syarat melakukan aqiqah:

    • Syarat-syarat untuk binatang aqiqah adalah sama seperti binatang korban.
    • Aqiqah untuk anak lelaki ialah dua ekor kambing atau dua bahagian lembu dan anak perempuan seekor kambing atau satu bahagian lembu.
    • Bagaimanapun, sekiranya kurang mampu, memadai membuat satu bahagian lembu aqiqah untuk anak lelaki. Baki sebahagian lagi boleh dibuat bila berkemanpuan kemudian hari.
    • Disunatkan menyedekahkan daging aqiqah yang sudah masak.
    • Seelok-eloknya tulang binatang aqiqah tidak dipatahkan sebaliknya dipotong pada sendinya.

    Hikmah melakuakan aqiqah:

    • Satu ibadah yang bertujuan mendekatkan diri anak kepada Allah SWT dari peringkat awal lagi.
    • Sebagai fidyah (tebusan) untuk menebus diri anak dari segala mara bahaya dan bala bencana, sebagaimana Allah telah menebus Nabi Ismail dengan seekor kibasy.
    • Sebagai tanda gembira dan kesyukuran atas kurniaan anak dan nikmat rezeki.
    • Mengukuhkan lagi pertalian kekeluargaan dan hidup bermasyarakat melalui jamuan dan agihan lauk daripada daging aqiqah.
    • Untuk mendapatkan ganjaran di sisi Allah pada hari kiamat.

    Doa menyembelih ternakan aqiqah:

    "Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ya Allah! Ini aqiqah (sebutkan nama-nama tersebut) Ya Allah! Semoga aqiqah ini Engkau jadikan sebagai tebusan baginya (agar terhindar) daripada siksaan api neraka."

    Sumber: Al-Ameen Serve Holding Bhd.Sdn

    Seja o primeiro a comentar

    Alam Sekitar

    Sayangilah kurniaan Allah ini. Hargailah pemberianNya.
    Alam dan manusia saling bantu membantu.
    Kesejahteraan alam, sejahteralah semua kehidupan di alam ini.

    LAKAR ruang MAYA - [LArAM] ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

    TOPO