Showing posts with label Tazkirah Remaja. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah Remaja. Show all posts

Friday, June 5, 2009

6 perkara dorong beribadat

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

PADA waktu Rasulullah s.a.w mengembala kambing, ada sekumpulan remaja melepak tidak jauh daripadanya sambil berborak dan ketawa. Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah s.a.w:

"Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana itu?"

Dengan tegas, Rasulullah s.a.w menjawab: "Saya diciptakan bukan untuk itu."Jawapan baginda itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan satu kesalahan malah kadangkala ia diperlukan. Tetapi hiburan hingga melalaikan, itu yang merosakkan.

Di sebalik jawapan Nabi s.a.w yang agung itu, ada mesej penting iaitu hidup ini untuk beribadat kepada Allah. Kadang-kadang ada yang lepak hingga lupa untuk menunaikan solat. Mereka yang bermain bola pada waktu petang di padang tidak lagi malu dengan azan yang berkumandang.

Padang bola pula bersebelahan masjid. Haiwan ternakan seperti kambing dan lembu pun balik ke kandang tetapi sesetengah kita asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi jalan. Inilah yang dilarang Nabi.

Waktu kerja, waktu rehat, masa tidur, makan dan bermain ada, tetapi sayangnya waktu ibadat tidak dimasukkan dalam jadual. Ada yang beribadat apabila berkesempatan dan bila tidak sempat qada saja. Ada pula memberikan alasan sibuk. Kadang-kadang ada remaja bertanya, kenapa perlu beribadat?

Dalam ruangan kali ini, saya mengajak remaja memahami tujuan kita mesti beribadat. Ada enam alasan kita mesti mengabdikan diri kepada Allah. Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau bagaimana sibuk.

Pertama, tujuan kita dicipta Allah ialah supaya kita beribadat kepada-Nya. Firman Allah bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku." (Al-Quran, surah adz-Dzaariyat: 56) Jika tugas lain kita boleh ingat, tugas ibadat lebih utama dan lebih-lebih lagi kita harus mengingatinya.

Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak. Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma. Zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar. Bil elektrik dan telefon, jika tidak dibayar kena potong. Tetapi kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan kalau kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong. Kita yang tidak beribadat ini matilah.

Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh. Firman Allah maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi..." (Al-Quran, surah al-A'raaf:172)

Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul ialah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan). Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat, apatah lagi kita. Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul: Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut..." (Al-Quran, surah al-Nahl: 36)

Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita, kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.

Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang derhaka pada-Nya. Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat pengakuan.

Ini terbukti dalam firman Allah maksudnya: "Katakanlah: Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari Kiamat)." (Al-Quran, surah al-An'am: 15)

Saturday, May 30, 2009

Kesan Zikir Terhadap OTAK

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.


http://www.halaqah.net/
editor:PenaHalaqah

Saturday, March 21, 2009

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat

Oleh: Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.
Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat. Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

  1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."
  2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"
  3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."
  4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf). Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."
  5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."
  6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."
  7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. "Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?" Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"
  8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"
  9. Orang yang membelanjakan harta (infak). Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"
  10. Orang yang sedang makan sahur. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."
  11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.

Alam Sekitar

Sayangilah kurniaan Allah ini. Hargailah pemberianNya.
Alam dan manusia saling bantu membantu.
Kesejahteraan alam, sejahteralah semua kehidupan di alam ini.

LAKAR ruang MAYA - [LArAM] ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO