Sunday, January 6, 2013

Tidak Masuk Syurga Jika Putuskan Silaturahim


Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat Abu Daud: “Tidak halal seorang Muslim menjauhi kawannya lebih dari tiga hari. Sekiranya telah berlalu waktu tiga hari itu, maka berbicaralah dengan dia dan berilah salam. Jika dia telah menjawab salam, maka keduanya bersama-sama mendapat pahala. Dan jika dia tidak membalasnya, maka sesungguhnya dia kembali dengan membawa dosa. Sedangkan orang yang memberi salam telah keluar daripada dosa menjauhi itu.”
Lebih hebat lagi, haram memutuskan silaturahim terhadap keluarga yang Islam wajibkan untuk menyambung dan melindungi kehormatannya.

Berbuat baik kepada orang lain

Firman Allah SWT: “Dan takutlah kamu kepada Allah yang pada-Nya kamu meminta dan jagalah keluarga kerana sesungguhnya Allah Maha mengawasi atas kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 1)

Rasulullah SAW menggambarkan silaturahim ini dalam sabdanya: “Kekeluargaan bergantung di ‘Arasy. Ia akan berkata: Sesiapa menghubungi aku, maka Allah pun akan menghubunginya dan sesiapa yang memutuskan aku, maka Allah akan memutuskannya.” (Riwayat Muslim)

Sabda Baginda SAW lagi: “Tidak masuk syurga orang yang memutus.” (Riwayat al-Bukhari) Ulama mentafsirkan kalimat ‘memutus’ itu iaitu memutuskan silaturahim dan lainnya mentafsirkan dengan memotong jalan atau penyamun.

Silaturahim yang wajib bukan sekadar seorang kerabat menghubungi dan berbuat baik kepada yang lain kerana ia perkara biasa. Tetapi yang dimaksudkan silaturahim yang wajib ialah tetap menghubungi keluarga sekalipun mereka menjauhinya.

Sabda Nabi SAW: “Bukanlah orang yang menghubungi keluarga itu ialah orang yang menjamin tetapi dinamakan orang yang menyambung kekeluargaan ialah apabila keluarganya itu memutuskan dia, maka dia tetap menghubunginya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW pernah menjauhi tiga orang sahabatnya yang tidak mahu turut dalam peperangan Tabuk selama 50 hari sehingga bumi ini layaknya sempit dan hatinya merasa kebingungan, tidak ada seorang pun mahu bergaul dengan mereka, berbicara atau memberi salam.

Rahmat Ilahi

Begitulah sehingga Allah menurunkan ayat mengenai diterimanya taubat mereka. Dan pernah juga Rasulullah SAW menjauhi sebahagian isterinya selama 40 hari.

Memutuskan hubungan akan menghalang pengampunan dosa dan rahmat Allah seperti diterangkan dalam hadis riwayat Muslim (yang bermaksud): “Pintu-pintu syurga akan dibuka pada hari Isnin dan Khamis, kemudian Allah akan memberi keampunan kepada setiap orang yang tidak menyekutukan Allah sedikit pun kecuali seorang lelaki yang ada berpisah antara dia dan saudaranya. Maka Allah berkata: ‘Tangguhkanlah kedua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkan keduanya sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah keduanya sehingga mereka berdamai’.”

Jika dia berada di pihak yang benar, maka cukup kiranya pihak yang bersalah datang dan minta maaf dan dia hendaklah memberi maaf. Dengan demikian selesailah persengketaan dan haram hukumnya dia menolak permintaan maaf saudaranya.

Terhadap orang yang demikian, Rasulullah SAW memberikan ancaman bahawa pada hari kiamat kelak dia tidak akan masuk syurga.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Artikel asal : Persolan Agama dari BH online - 06/01/13

Sunday, December 30, 2012

Keajaiban Bersedekah

Dipetik dari BH Online
27/12/12
Oleh Safarina Mohd Fathoni
Amalan jadikan mukmin tenang, raih ganjaran 700 kali ganda

Dewasa ini amalan bersedekah dan bantu-membantu sudah tidak asing lagi dalam kalangan penduduk berbilang kaum serta budaya di negara ini. Sikap ini terus berkembang merentasi sempadan dunia hingga sampai ke negara memerlukan bantuan.
Hal ini kerana semua fahaman agama yang berbeza mempunyai prinsip amalan nilai murni yang sama. Agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, malah ajaran fahaman Confucius dan Taoist juga mengajar penganutnya agar sentiasa menjaga kebajikan masyarakat sekeliling dengan cara berkasih sayang dan saling membantu.

Sesiapa yang membawa satu amal kebaikan, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya" - Surah al-Anam (ayat 160)

Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam pasti lebih peka terhadap kesulitan dan kesusahan dihadapi saudara seagama di seluruh dunia. Apatah lagi apabila diuar-uarkan kisah penderitaan ditanggung saudara seagama sejak lebih 60 tahun lalu, tidak lain tidak bukan, rakyat di bumi Palestin.

Kenapa sedekah dan bantu-membantu itu sering beriringan? Ini kerana ia adalah dua sikap yang lebih kurang sama. Kita membantu orang yang berada dalam kesusahan, ia juga dikira sedekah. Malahan, senyuman manis dan perkataan baik yang mendamaikan hati dan telinga orang yang mendengar pun adalah sedekah.

Hadis Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah berkata: “Rasulullah SAW bersabda setiap anggota badan manusia bersedekah setiap hari selama matahari masih terbit. Kamu mendamaikan antara dua orang (yang berselisih) adalah sedekah, kamu menolong seseorang naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, berkata yang baik itu adalah sedekah, setiap langkah berjalan untuk solat adalah sedekah, dan menyingkirkan suatu halangan dari jalan adalah sedekah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, tidak pula dinafikan ada segelintir masyarakat kurang prihatin terhadap impak positif amalan sedekah terhadap dirinya dan juga masyarakat. Mereka berasa harta kurang apabila memberi selain berasa takut kehilangan barang kesayangan.
Mereka inilah yang kurang kefahaman dan keyakinan mengenai kelebihan bersedekah seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Sunnah.

Bagi yang kurang faham, bukalah hati dan minda untuk memahami betapa besarnya ganjaran yang Allah sediakan. Terdapat sifir mudah termaktub di dalam al-Quran di dalam Surah al-Anam, ayat 160, yang bermaksud, “Sesiapa yang membawa satu amal kebaikan, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya.”

Dalam hal ini, Pengetua Pondok Pesantren Daarul Quran Bulak Santri, Indonesia, Yusuf Mansur mempunyai penjelasan mengenai keajaiban sedekah.

Katanya, berdasarkan dalil al-Quran di atas, setiap kali kita memberi satu, kita akan mendapat 10. Asalnya, sekiranya kita ada 10, kita berikan satu pada orang lain yang memerlukan, baki yang kita ada ialah sembilan (10 – 1 = 9).

Tetapi apabila kita amalkan formula sifir ini dalam konteks sedekah, nilaian satu yang kita berikan itu akan digandakan dengan 10. Oleh itu, baki yang kita miliki selepas memberi satu tadi bukan sembilan, tetapi 19.

Ini adalah jumlah yang kita miliki selepas memberi atau bersedekah (1 x 10 = 10). Natijahnya, baki yang kita ada apabila ditambah dengan gandaan 10 tadi ia menjadi 19 (9 + 10 = 19 ). Jika beri dua, maka hasilnya akan dapat 28, dan begitulah seterusnya.

Jika kita memberi, memang secara zahirnya apa yang kita miliki itu akan berkurang. Namun, ia bertambah di sisi Allah SWT, malahan ganjarannya boleh sampai sehingga 700 kali ganda.

Firman Allah SWT bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji, dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Apabila memahami sifir sedekah di atas, maka yakinlah sedekah akan menjadikan kita kaya dengan sekelip mata. Masakan tidak kaya, apabila memberi satu, bukan berkurang, tetapi ditambah dengan gandaan 10. Malah boleh digandakan hingga 700 kali ganda.

Justeru, jadikan amalan sedekah bukan sebagai amalan kebetulan iaitu jika tidak ke masjid, tidak bersedekah. Jika bukan hari Jumaat, tiada yang mahu disumbangkan, tetapi jadikanlah ia sebagai amalan harian.

Kalau tiada yang meminta, kitalah yang mencarinya. Alangkah hebatnya seorang Muslim yang tidak akan tenang hatinya jika tidak dapat memberi dalam sehari.

Penulis adalah pelajar Kursus Bahasa Arab dan Komunikasi, dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Friday, December 28, 2012

Kembali ke LArAM

Lama sudah tidak indahkan blog ini. Sejak bersara dari perkhidmatan sepatutnya ada masa untuk menulis sesuatu pengalaman dalam blog.. Banyak masa dihabiskan dengan FB sahaja, kerana FB merupakan media sosial yang pantas sampai kepada kenalan berbanding blog. Kelebihan blog tetap mengatasi FB, di mana maklumat dalam blog lebih mudah untuk dirujuk berbanding dengan FB.

Sudah 8 bulan bersara, banyak berlaku perubahan aktiviti harian. Setiap pagi, jika tidak hujan menjalan aktiviti berjoging di dataran MDKL. Namanya joging tetapi hanya berjalan sahaja hingga hingga keluar peluh. Biasanya mengelilingi track sebanya 7 kali sudah memadi untuk berpeluh. Aktiviti jarang dilakukan semasa berkhidmat dahulu.

Peristiwa besar selepas bersara ialah mengadakan majlis walimatulurus puteri sulung  pada 27 Mei. Majlis berjalan dengan lancar.

Kesempatan untuk balik kampung lebih kerap. Pernah tiap-tiap minggu, samada bermalam atau balik hari. Terutama ketika membuat baik pulih atap dan lantai rumah (rumah mertua) yang telah rosak dan reput, disamping melihat ibu yang kurang sihat. Baik pulih itu di buat di akhir bulan 6 dan sempat disiap sebelum raya. Kali ini sering balik kampung melihat ibu (ibu sendiri).

Sebelum seminggu berpuasa mengikut rombongan sekolah berwisata ke Indonesia selama 6 hari (11-16 Julai). Banyak pengalaman menarik di sini. InsyaAllah satu catatan untuknya akan menyusul.

Tanggal 24 November  adalah majlis pertunangan puteri kedua dan majlis akad nikah dicadangkan 26 Oktober 2013.

Satu perancangan spontan yang diusul oleh puteri kedua ialah berwisata ke Padang - Bukittinggi pada 21-26 April 2013. Tiket penerbangan sudah dibooking secara online. Urusan pakej diuruskan oleh Jasper Travel & Tour Sdn Bhd.

-sekadar catatan ringkas




Sunday, February 13, 2011

Kisah pakar bedah Perancis memeluk Islam


http://www.izoblog.com/wp-content/store/islam-itu-indah.jpg

Ada diantara kita yang menolak Islam dan dengan jelas menghina hukum yang Allah telah tetapkan. Bukan sahaja rakyat biasa, malah ada pemerintah yang menghina Islam dengan jelasnya. Satu perkara yang sangat menyedihkan dan semoga tiap-taip yang dilakukan itu akan mendapat balasannya.

Hudud satu perkara wajib dilaksanakan. Kenapa masih takut untuk dibuat? Bagi aried, hanya mereka yang mencuri takut dilaksanakan hukum ini kerana tangan mereka akan dipotong. Jadi, jika benar tidak pernah mencuri, kenapa hendak takut? Pelik… Pasti anda juga pelik bukan?

Jauh benar beza antara pemikiran mereka dengan cendekiawan barat yang masuk islam selepas mengkaji mumia firaun yang berusia ribuan tahun lamanya. Ya, satu pendedahan yang amat hebat sekali!

Dia Peluk Islam Kerana Melihat Kebenaran Al-Quran Mengenai Fir’aun

Pada pertengahan tahun 1975, Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.

Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.

Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.

Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille.

Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?

Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine).

Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Kisah Firaun dalam al-Quran
Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898.

Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.

“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah:

“Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)
Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.
Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.

“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.

“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.
Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.
 
Sumber: Kelabgreenboc 
tulahan.blongspot

Monday, February 7, 2011

TAK BAIK MENGUMPAT

Penyakit hati yang punya sifat infeksi yang tinggi. Mari kita bacakan definisi mengumpat oleh Rasulullah

Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah pernah berkata, "Saudara-saudara tahu apa itu mengumpat?
Sahabat-sahabat beliau menjawab, 'Allah dan utusannya yang lebih tahu.'
Rasulullah berkata, "Mengumpat itu ialah saudara menyebut hal rakan saudara yang dia tidak suka.'
Ada orang bertanya, 'Apa pandangan tuan apabila saudara saya itu memang sifatnya speperti yang saya sebutkan?'

Rasulullah menjawab,

"Apabila dia memang begitu, maknanya saudara mengumpat kepadanya. Apabila dia tidak bersifat seperti apa yang saudara katakan, bererti saudara memfitnahnya."

[H.R Muslim]

Sungguh mudah bagi kita untuk menceritakan perangai buruk tentang orang lain dan sukar untuk berbuat sebaliknya. Mudah itu dalam kedua-dua keadaan, iaitu dalam sengaja dan tidak.

Terkadang risau bila melihat rakan-rakan berkumpul disatu tempat sama ada untuk makan atau beristirahat. Kerana tema tajuk utama perbualan biasanya adalah tentang kelemahan manusia selain mereka. Bosan menceritakan kelemahan 'kenalan' mereka yang memang sudah nyata, tema perbualan berubah kepada sangkaan sifat buruk kenalan tadi.

"aku rase die ni ... ... ..., sebab tu die ... ...".
"ala, die tu .. .. .., mcm ko tak biase pulak dengan perangai die"

Firman Allah tentang perkara ini.

"Wahai orang-orang beriman!. Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip ataupun mencari kesalahan dan kaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seorang daripada kalangan kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? Apabila demikian mengumpat, sudah tentu kamu jijik padanya. Oleh itu, larang-larangan itu perlu dipatuhi dan bertakwalahkamu kepada Allah. sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi maha mengasihani."

-surah al-Hujarat, ayat 12-


Mengumpat sudah seperti suatu budaya. hampir dimana saja ada orang berkumpul, tentu ada lidah yang mengumpat. Tidak kisah jantina. Bila ditegur, kata mereka "macamlah kau tak biasa".. Yang salah dirasakan betul kerana yang salah itu sudah dijadikan budaya. yang salah dijadikan betul bila nafsu menguasai jiwa. yang salah dilihat seperti betul kerana hati telah buta.

Nasihat dari Allah bila berhadapan dengan situasi sebegini;

"Dan apabila kamu melihat orang yang memperkatakan ayat-ayat kami dengan cara mencaci ataupun mengejek, tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain. Apabila kamu dilupakan oleh syaitan, lalu kamu duduk bersama mereka, janganlah kamu duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah kamu teringat larangan itu."

-surah al-An'am, ayat 68-


bukan mudah untuk mengubah tajuk perbualan yang sedang hangat, tapi cubalah beberapa kali. jika tidak berjaya maka jauhkanlah diri darinya dan jika tidak terdaya duduk diam tanpa mengambil bahagian dalam perbualan itu.

Sabda Rasulullah s.a.w

"Barangsiapa diantara kamu melihat kemungkaran hendaklah ia merubah dengan tangannya; bila ia tidak mampu, maka dengan lisannya' dan kalau tidak mampu maka dengan hatinya. yang demikian itulah selemah-lemah iman."

-h.r. Muslim-

Kerana jika kita tidak menegahnya, dan hanya duduk mendengar, khuatir kita dikira bersubahat dan mendapat ganjaran yang sama dengan mereka yang mengumpat.

Abu Darda' melaporkan, Rasulullah s.a.w bersabda

"Orang yang mempertahankan maruah saudaranya, Allah jauhkan api neraka daripada mukanya pada Hari Kiamat"

[H.R Tirmizi]


Jauh dari mukanya dimaksudkan jauh dari pandangannya. Tidakkah kita ingin perkara ini berlaku pada kita di hari pembalasan?

Tidakkah kita ingin bergelar muslim yang terbaik oleh Rasulullah?

Musa Asy'ari bertanya

"Wahai Rasulullah, siapakah orang islam yang paling baik?

Rasulullah menjawab

" Orang yang menyebabkan semua orang Islam selamat daripada lidah dan tangannya."

[H.R Bukhari dan Muslim]


Akhir sekali, Jaga Lidah kita! Jaga Hati kita! Jaga Iman kita! jangan sampai kita dilaknat oleh Allah s.w.t!

"Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela"

[Al-humazah, ayat 1]

Beramallah kita seperti seorang muslim sehingga kita dapat melaungkan "Saksikanlah! aku seorang muslim!" tanpa ragu.

wallahualam.


Sumber: Portal Islam Murabbi

Friday, February 4, 2011

APA ADA DLM MEE SEGERA


Adakah mi segera makanan sebenar atau makanan palsu? Apakah bahan penambah ini sebenarnya dan sejauh manakah ia selamat? Berikut beberapa ramuan yang mungkin anda mengambilnya bersama dengan mi segera anda.

Kalsium Sulfat: Kapur Paris.

Asid Tartarik: Bahan kimia yang digunakan dalam julap dan untuk memutihkan cermin. Lebih beracun berbanding 100% alkohol tulen.

Kalsium Oksida: Digunakan rawatan sisa buangan dan dalam racun serangga.

Tertiary Butylhydroxyquinone (TBHQ): Produk berasaskan petroleum; satu bentuk butane (cecair dalam pemetik api).


BHT: Risiko karsinogen dan kesan berbahaya kepada ginjal.

Propyl Gallate: Satu xenoestrogen (sebatian seperti hormon). Boleh memberikan kesan sampingan kepada pembiakan, perkembangan janin yang sihat dan menghalang pengeluaran sperma.

Pentasodium triphosphate: Bahan pencuci paling berkuasa (sering digunakan dalam bahan cuci), bahan samak untuk kulit; juga digunakan dalam pengeluaran kertas, penapisan petroleum, aplikasi lombong dan rawatan air.

Propylene Glycol: Pelarut sintetik yang dianggap racun neurologi. Digunakan untuk pembuatan bahan pendingin, antibeku automotif, cecair yang berfungsi dalam tekanan hidraulik dan sebagainya. Jumlah berlebihan yang diambil boleh membawa kepada kerosakan buah pinggang.


Polydimethylsiloxane: Digunakan dalam kanta sentuh, syampu (untuk menjadikan rambut berkilat dan licin), minyak pelincir dan jubin tahan panas.

Pewarna tiruan (contohnya: Sunset Yellow FCF dan Tartrazine): Menyumbang kepada hiperaktiviti dalam kalangan kanak-kanak; mungkin turut menyumbang kepada gangguan visual dan pembelajaran, kerosakan saraf; mungkin menjadi penyebab kanser.
 
sumber: KedahLanie.info

Thursday, February 3, 2011

Rahsia Penciptaan Buah Delima

Oleh:
Norkumala bt. Awang
Pegawai Penyelidik IKIM

 
Di dalam al Quran, terakam indah firman Allah SWT yang bermaksud,"Di dalam kedua-duanya (syurga) juga terdapat buah-buahan serta pohon kurma dan delima." (Surah al-Rahman ayat 68)

Allah menyebut buah delima (rumman) sebanyak 3 kali di dalam ayat-Nya untuk menunjukkan betapa hebatnya penciptaan Allah itu dan ia juga disebut sebagai buahan daripada syurga. Mengapa begitu sekali pengiktirafan Allah terhadap buah delima sebagai anugerah kepada makhlukNya di muka bumi? Apakah keistimewaan di sebalik sebiji buah delima?

Jika ditinjau, delima yang berasal dari negara Iran dikenali sebagai *pinica granatum* dalam istilah botani juga didapati di India, Afghanistan dan Syria. Pada zaman Nabi Musa a.s. lagi, buah delima yang bermutu sudah ditanam di Palestin dan Lebanon. Buah delima menjadi simbol kesuburan bagi perkahwinan masyarakat di Timur Tengah.

Manakala dalam agama Kristian, buah delima menjadi simbol kebangkitan semula dan kehidupan yang kekal serta dalam agama Buddha, buah delima dikatakan buah yang berkat selain daripada buah limau dan pic. Di China pula, buah delima menjadi satu simbol kesuburan, rezeki yang melimpah ruah, keturunan yang ramai dan masa depan yang diberkati.

Namun, dalam Islam, buah delima merupakan salah satu buah yang terdapat di dalam syurga yang dikurniakan Allah sebagai rezeki yang boleh dinikmati oleh umat manusia yang menunjukkan tanda- tanda kekuasaan-Nya sebagaimana yang termaktub dalam firman-Nya di dalam surah al An'am ayat 99 dan ayat 141.

Al Ghazali mengajak manusia agar merenung tentang penciptaan buah delima sebagai tanda kehebatan Allah di mana ia terbentuk seperti kantung-kantung kecil yang segar, dengan bahagian bawahnya besar dan bahagian atasnya tipis yang kelihatan seperti bukit. Kemasan yang tersusun rapi biji buah tersebut seakan disusun oleh manusia serta dibalut dengan kulit yang tipis seperti tenunan halus dan akhirnya ia dibalut dengan kulit yang tebal mengelilingi buah delima tersebut.



Hikmah penciptaan buah delima dengan percaturan yang sebegitu rupa mempunyai nilai kehebatan tersendiri. Seandainya ia tidak dilapisi dengan lapisan yang halus itu, sudah tentu sari makanan tidak dapat sampai kepada biji buah delima tersebut. Dengan mendapat sari makanan itulah, buah delima mempunyai rasa manis tetapi akarnya sendiri mempunyai rasa yang amat pahit.

Lapisan yang membahagi ruang biji buah delima berfungsi untuk memelihara buahnya dan seluruh biji buah tersebut dilitupi dengan kulit yang keras tetapi rasanya agak pahit adalah untuk menjaganya bebas daripada segala hama. Sorotan tentang kejadian ini menunjukkan kepada kita betapa setiap kejadian yang Allah ciptakan mempunyai keistimewaan tersendiri.

Dari sudut pemakanan, buah delima amat kaya dengan sodium dan mengandungi unsur-unsur nutrien seperti riboflavin, tiamin, niasin, vitamin C, kalsium dan fosforus. Manakala zat protein dan lemak hanyalah sedikit sahaja terkandung di dalamnya. Oleh sebab ia mempunyai nilai pemakanan yang baik, buah delima juga disarankan dimakan dalam mengimbangi pemakanan sempurna dari kelas buah-buahan.

Ternyata buah delima mempunyai banyak manfaat untuk manusia sama ada sebagai buah-buahan mahupun dijadikan sebagai ubat penawar. Menurut Ibn Qayyim Al Jauziyah, buah delima bersifat panas dan lembap, oleh sebab itu ia amat baik untuk menguatkan perut, tekak, dada dan paru- paru kerana ia akan melegakan batuk. Sepertimana sabda daripada Nabi Muhammad SAW daripada Ali dan Abu Nu'aim yang bermaksud: "Buah delima dan kulitnya dapat menguatkan perut untuk penghadaman."

Jus buah delima dapat memberikan zat kepada tubuh badan serta menyegarkan badan dan ia dapat dihadam dengan cepat kerana sifatnya yang ringan dan akan mengeluarkan haba bersama dengan angin di dalam perut. Oleh sebab itu buah delima tidak disarankan kepada mereka yang menghidap demam. Ia juga bertindak sebagai penawar yang baik untuk cirit birit, anemia, tekanan darah tinggi dan atritis.

Di samping itu, buah delima dapat menguatkan jantung dan membantu dalam fungsi saraf dan otot. Oleh kerana itulah, ia mampu menghilangkan rasa keletihan. Di dalam perubatan homeopati pula, buah delima disarankan untuk mengubat cirit birit, sakit telinga dan kurang lawas penghadaman.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat bukti yang menyatakan bahagian pokok delima banyak kegunaan dan faedahnya. Dan ini telah diakui dalam perubatan Melayu seperti ramuan jamu daripada pokok delima sebagai ubat cacing. Ramuan ini sebenarnya sudah lama diamalkan oleh masyarakat tradisional Melayu. Cuma yang mungkin, ilmu perubatan Melayu tradisional ini tidak terus diamalkan dan tidak langsung sampai kepada generasi baru sekarang dan ia seolah-olah dibiarkan begitu sahaja.

Bahagian kulit buah delima pula mengandungi sejenis alkaloid yang boleh mengawal beberapa cenis cacing seperti cacing pita yang mendiami perut manusia. Rasanya yang pahit tidak sesuai untuk dimakan tidak seperti bijinya yang manis, tetapi manfaat daripada rasa pahit tersebut ialah dapat menghapuskan cacing pita dalam perut manusia.

Kulitnya yang tebal pula bertanggungjawab melindungi buah delima supaya dapat disimpan dengan mutu yang baik. Jika diselusuri faedah dan kepentingan kulit serta batang buah delima, ia dapat digunakan untuk melembut dan menguningkan kulit lembu dan kambing dalam industri barangan kulit di Morocco dan Syria. Ini kerana kulitnya mengandungi punicotannic acid yang agak tinggi iaitu sebanyak 22%. Manakala bunga buah delima pula mempunyai nilai yang amat tinggi dalam tujuan perubatan kerana ia dapat mengubati pelbagai jenis penyakit.

Justeru, kemanfaatan buah delima tidak dapat disangkal lagi kerana ia bukanlah hanya sekadar sebiji buah yang mengandungi banyak khasiat untuk dimakan tetapi keseluruhan penciptaan pokok buah delima memberi manfaat kepada umat manusia. Sekaligus ia menggambarkan kepada kita, betapa hebatnya kuasa Allah Taala.

Renungkanlah dan perhatikanlah, bagaimana dahan tempat buah delima tergantung yang diciptakan-Nya dengan rapi dan kuat serta tidak gugur buahnya sebelum sampai waktunya. Ini menunjukkan betapa setiap kejadian yang Allah cipta mempunyai rahsia dan keistimewaan tersendiri agar manusia mendapat manfaat dan menilai kurniaan tersebut.

via blog: IkutSukaAku-Isa

Sunday, January 30, 2011

CATATAN KULIAH SUBUH 30/01/11

Penyampai Ust. Salahuddin [catat ini hanya berdasarkan kepada ingatan sahaja]
Penceramah mulakan kuliah dengan memaklumkan beliau kurang sehat kerana sakit kaki (gaut). Sempat bercerita asal usul penyakit gaut. Manusia pertama terkena penyakit gaut ialah Firun. Allah memberi 5 kelebihan kepada Firun. Satu daripadanya ialah mampu memerintah air sungai berhenti dari mengalir. Kelebihan ini dalam ilmu aqidah di sebut sebagai istijraj. Dengan kelebihan ini Firun mendakwa diri sebagai Tuhan.  Dakwaan Firun ini, Iblis yang berada berdekatan dengannya menjadi terkejut kerana Iblis lebih jahat dari manusia, tak sanggup mengaku sebagai Tuhan... hebatnya manusia Firun ini..Lantaran itu menurut penceramah, Allah s.w.t. uji Firun dengan penyakit gaut. Firun mengubat kaki dengan merendam kaki di Hamam Firun iaitu tandas Firun. Tandas ini bukan untuk buang air atau besar. Di tempat tersebut ada kawasan air panas dan di situlah Firun merendamkan kakinya. Kawasan ini sekarang adalah salah tempat kunjungan para pelancong..
Pencermah menceritakan beliau terkena gaut di bukit Tursina atau bukit Nabi Musa iaitu tempat Nabi Musa bertemu dengan Allah s.w.t. dan bila turun dari bukit Nabi Musa a.s dibekalkan dengan Kitab Taurat. Untuk naik ke bukit bekenaan mengambil masa 5 jam. Penceramah naik waktu tengah malam dan sampai ke atas waktu subuh. Bila turun semula ke bawah, kakinya berasa sakit dan perjumpa dengan tuan gurunya di Azhar Universiti. Tuan gurunya menjelaskan, "jika Nabi Musa a.s menerima Kitab Taurat untuk mengingati Allah, maka anda dibekalkan sakit untuk cara mengingati Allah". 
.........................................
Kita sering memikirkan pagi ini nak sarapan apa? Semasa sarapan nanti, fikir lagi nak makan apa tengahari nanti? Begitu seterusnya nak makan apa petang dan malam nanti!! Makanan ini hanya untuk makanan jasad/fizikal kita sahaja! Adakah terfikir makanan untuk rohani/roh kita? Makanan roh/rahani tidak banyak menunya berbanding makanan untuk jasad/fizikal. Makanan roh/rahani inilah menyelamat kita di alam barzah dan alam akhirat nanti..Jasad kita di alam barzah akan hancur dimakan ulat dan cacing. Fakta yang tak boleh dinafikan. Tetapi roh kita terus hidup. Bagaimana cara hidup kelak bergantunglah bagai tuannya melayan roh ini semasa hidupnya di muka bumi ini. Roh yang diberi santapan yang baik-baik, baiklah natijahnya dengan menyelamatkan tuannya di alam barzah dan alam akhirat, begitulah sebaliknya. 
Makanan roh/rohani ini ialah banyak membuat amalan-amalan pahala dan jauhi amalan-amalan dosa. Buat apa yang Allah dan RasulNya dan tinggalkan apa yang ditegah atau dilarang.
Jika solat berjemah dapat 27 darajah, maka solat berjemaahlah di masjid atau di surau. Duduk mendengar pengajian di masjid atau surau akan dinaungi para malaikat dengan melebarkan sayapnya dan berdoa kepada Allah agar merahmati mereka yang mendengar pengajian, mala lapangkan waktu untuk duduk mendengar pengajian. Jika berpuasa, berpuasalah dengan ikhlas dan sabar, bukan berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Maknanya amalan Rukun Islam kita hendaklah mantap dan istiqamah. Begitulah amalan Rukun Islam hendak benar dan sohih.
.....................................
Bentuk kehidupan di alam barzah, amalan kita di dunialah yang menentukan. Adakah roh kita hidup bahagia atau sebaliknya? Adakah soalan Mungkar dan Nangkir mampu dijawab atau tidak, walaupun soalan-soalan telah bocor! Rajin-rajinlah baca al-Quran sekurang-kurang lima (5) ayat sehari, kemudian baca terjemahannya dan kemudia amalkan.. kerjakan sembahyang secara berjemaah, bila berjemaah kenal jiran tetangga...buat baik dengan tetangga dan kenali mereka ajaklah mereka berbuat baik..
Alam akhirat nanti, jasad yang hancur samada diperut bumi, di perut ikan atau di binatang akan dihidupkan kembali dan bergabung semula dengan roh mereka. Ketika ini, mulut terkunci tidak boleh berkata-kata. Tangan diberi kuasa Allah untuk berkata-kata melaporkan apa yang dilakukan tuannya ketika di dunia dahulu dan kaki menjadi saksi.. Berbahagialah jika hidup di dunia ini amalan kita ialah apa yang Allah dan RasulNya perintah kita laksana dengan baik dan penuh kapatuhan, dan setiap larangan kita tinggal dengan penuh keinsafan dan ketakwaan.
....................................
Jangan kita rosakkan akidah kita ketelanjuran lidah. Seperti "hebatnya orang Hindu boleh cucuk besi, kait mata pancing dan macam-macam lagi  di badan mereka"  Ini yang dinamakan istijraj seperti yang diberikan kepada Firun itu. Allah memberi kelebihan ini ialah untuk menambahkan kesesatan mereka lagi.
....................................
Penceramah menjelaskan seseorang yang mampu menghafaz al-Quran 30 juzu', gelarannya bukan al-Hafiz seperti yang berlaku hari ini, yang telah digunakan oleh semua orang. Al-Hafiz adalah gelaran untuk mereka yang hafaz 200 ribu hadis. Mereka yang dapat menghafaz 1.5 juta hadis digelarkan al-Imam, seperti Imam al-Bukahari, Imam Malik, Imam Hanafi dan lain-lain lagi. Gelaran untuk yang hafaz al-Quran ialah al-Qari atau al-Muqri.  
....................................
[Tambahan dari pencatat]
Jangan rosakkan akidah kita dengan amalan syirik.  Syirik ada 2. Syirik nyata dan syirik tersembunyi. Syirk nyata ialah menyembah patung, berhala dan seumpamanya. Syirik tersembunyi ialah anggapan ada kuasa lain yang mengatasi kuasa Allah, seperti "ubat panadol inilah menyembuh sakit kepala saya, sabun feb ini membersihkan baju saya" atau apa-apa seumpamanya boleh menjejaskan akidah kita. Dalam perkara ini hendaklah kita sandarkan semua benda itu adalah alat atau bahan sahaja dan yang mengizinkannya berfungsi ialah Allah.  Waulahu'alam.

Alam Sekitar

Sayangilah kurniaan Allah ini. Hargailah pemberianNya.
Alam dan manusia saling bantu membantu.
Kesejahteraan alam, sejahteralah semua kehidupan di alam ini.

LAKAR ruang MAYA - [LArAM] ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO